Home » Anjur program untuk mendalami sejarah Sabah – Maijol
Uncategorized

Anjur program untuk mendalami sejarah Sabah – Maijol

Maijol (3, kanan) berkata melalui program seperti ini , kita dapat mempelajari perjanjian antarabangsa, penyelidikan meluas serta analisis, dan perancangan strategik untuk mengukuhkan kedudukan Sabah.

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah khususnya golongan belia diseru mendalami sejarah Sabah melalui penyertaan dalam program dan forum anjuran Kerajaan dan NGO demikian kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Maijol Mahap ketika menghadiri Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 bertemakan Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Timbang Tara Komersial di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah(SICC) di sini kelmarin.

Maijol yang juga merupakan seorang peguam berkata program seumpama ini amat penting untuk mendidik masyarakat tentang kefahaman sejarah lampau  mengenai tuntutan kesultanan Sulu ke atas Sabah.

“Melalui program seperti ini, kita bukan saja memperolehi pengetahuan sejarah…malah kita dapat mempelajari perjanjian antarabangsa, penyelidikan meluas serta analisis, dan perancangan strategik untuk mengukuhkan kedudukan Sabah dan mengemukakan kes menarik yang menegakkan kedaulatan dan kekebalan negeri ini.”

 “Tuntutan Sulu ke atas Sabah tidak mempunyai asas sama sekali, ini juga dibuktikan dengan keputusan bersejarah di Mahkamah Sepanyol dan yang terbaru di Paris”, ujarnya.

“Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, dan keputusan mahkamah ini mengukuhkan lagi pendirian ini” Maijol berkata.

Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 ini dianjurkan oleh dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Asian International Arbitration Centre, Institute of Development Studies, Sabah dan Sabah Law Society.

Ia telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji berkata, keputusan baru-baru ini di Mahkamah Rayuan Paris di Perancis dan di Mahkamah Rayuan Hague, Belanda adalah bukti komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk melindungi hak, integriti dan kedaulatan Sabah.

“Kami akan meneruskan perjuangan undang-undang kami dengan keazaman. Marilah kita berhimpun bersama sebagai Rakyat Malaysia, di Sabah dan di seluruh negara, untuk mengesahkan komitmen kita terhadap keamanan dan perpaduan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.


Turut hadir Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman melalui zoom dari Tokyo, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Hal Ehwal Sarawak & Khas Fungsi) Datuk Armizan Mohd Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Peguam Negara Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

— TAMAT