TAWAU: Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penjaja kecil di negeri ini sentiasa diberikan ruang dan peluang untuk mereka berniaga.

Katanya, kerajaan negeri akan memastikan setiap rakyat yang mahu berusaha meningkatkan ekonomi mereka dan berniaga dibantu menerusi pelbagai skim yang disediakan oleh pihak kerajaan.

“Kita lihat ramai masyarakat di negeri ini yang sudah mula sedar dan mahu berjinak-jinak untuk menjalankan perniagaan sama ada menjual pakaian mahu pun makanan.

“Justeru, saya yakin kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor cukup prihatin bagi memastikan penjaja kecil tidak tercicir dalam mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Karnival Jualan Peniaga Kecil (KJPK) 2.0 Peringkat Perbandaran Tawau, di sini, semalam.

Karnival berkenaan adalah anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) bersama Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

 Nizam berkata, kerajaan negeri juga sangat mengalu-alukan penglibatan NGO di daerah ini supaya dapat berkolaboratif dengan agensi kerajaan menganjurkan program-program bermanfaat kepada masyarakat.

“Saya beri jaminan bahawa kerajaan negeri akan mendokong setiap usaha dan penganjuran yang mahu dilaksanakan oleh NGO untuk membantu penjaja kecil di daerah ini,” katanya.

Mengulas mengenai karnival itu, Nizam menzahirkan syabas dan tahniah kepada PKMT dan MPT kerana mengambil inisiatif menganjurkan program yang sangat bermanfaat ini.

“Saya berharap lebih banyak lagi NGO berani menganjurkan karnival sebegini di Tawau kerana ia bukan sahaja memberi kesan positif kepada ekonomi, malah impak untuk sektor pelancongan di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras KJPK 2.0 Ts. Ismail Awang berkata, sambutan karnival kali kedua ini memang dapat sambutan menggalakkan daripada penjaja kecil di daerah ini dan sekitarnya.

Katanya, sebanyak lebih 120 lot gerai jualan pelbagai barang, pakaian dan makanan terlibat dalam karnival kali ini.

“Sebenarnya, tahun lalu karnival ini memang dapat sambutan yang sangat menggalakkan sama ada daripada penjaja kecil mahupun masyarakat di daerah ini.

“Jadi sambutan itu mendorong PKMT untuk melaksanakan untuk kali kedua dan kami bercadang untuk menganjurkan karnival ini lebih kerap setiap tahun,” katanya.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dan Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Perhubungan Negeri Sabah (LKPIM) cawangan Tawau Datuk Hamisa Samat.

— Hamzah Sanudin

Previous articleTYT and CM join thousands to celebrate Chinese New Year
Next articleProgram Jelajah Subuh beri impak positif kepada masyarakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here