KOTA KINABALU: Pembukaan Konsulat Republik Korea di Kota Kinabalu membuka satu lagi ruang kerjasama yang mampu memperkukuhkan jalinan erat di antara negara Korea Selatan dan Sabah.
Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-Bae berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu melibatkan konsep pertukaran ‘people to people’ yang membawa lebih ramai pelancong Korea berkunjung ke Sabah.
Menurutnya, sejak lebih 20 tahun lepas, semakin ramai rakyat Korea menyedari keindahan alam semula jadi yang wujud di negeri ini dan menganggap ia sebagai permata di tengah-tengah Asia Tenggara dan khazanah Borneo.
“Jumlah pelancong Korea yang melawat Sabah melebihi 100,000 orang pada 2014 dan sekali lagi jumlah berkenaan bertambah melebihi 300,000 pada 2017.
“Sebelum wabak COVID-19, jumlah kedatangan pelancong Korea ke Sabah mencecah sehingga 400,000 orang, tapi malangnya semasa pandemik jumlahnya menurun. Kini kita melihat angka itu kembali meningkat ke tahap seperti sebelum pandemik.
“Jika dilihat pada statistik bermula Januari hingga Jun tahun ini, kira-kira 90,000 pelancong Korea datang dan jumlah ini sekali gus meletakkan Korea di tangga teratas senarai ketibaan pelancong asing ke Sabah,” katanya dalam temubual bersama Utusan Borneo dan The Borneo Post di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, setakat ini, terdapat lebih 30 jadual penerbangan seminggu yang menghubungkan Korea dan Sabah melibatkan kira-kira 1,000 pelancong Korea mendarat di Kota Kinabalu dan tinggal sekitar tiga hingga lima hari. Secara purata terdapat kira-kira 3,000 orang Korea di Kota Kinabalu setiap hari.
Selain itu, pihaknya juga mempunyai rekod lebih 600 orang Korea yang tinggal, bekerja dan ada yang belajar di negeri ini terutama di kawasan Kota Kinabalu.
Pada masa sama katanya, turut direkodkan bilangan penduduk jangka masa pendek yang semakin meningkat termasuk yang tinggal di sini selama sebulan yang mana trend ini menjadi sangat popular menjadikan bilangan penduduk jangka pendek dari Korea semakin meningkat di Sabah.
“Sehubungan itu, berdasarkan peningkatan pertukaran ‘people to people’ yang semakin pesat ini, kerajaan kami membuat keputusan untuk menubuhkan pejabat konsulat di Kota Kinabalu untuk menjaga keselamatan rakyat, pelancong dan penduduk atau ekspatriat Korea kita.
“Pembukaan pejabat konsulat ini juga akan mempromosikan orang ramai kepada konsep pertukaran masyarakat dan budaya serta kerjasama ekonomi antara Korea dan Sabah.
“Pada masa ini, Sabah antara rakan kerjasama ekonomi yang menjanjikan manfaat besar kepada ahli perniagaan dan syarikat dari Korea.
“Ini berikutan keputusan syarikat Korea SK Nexilis melabur RM4.2 bilion pada 2021 untuk operasi pengeluaran komersial produk kerajang tembaga. Saya baru melawat kilang mereka yang sudah siap untuk fasa pertama dan mula beroperasi pada Mei tahun ini,” jelasnya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 10 syarikat Korea beroperasi di daerah ini terutamanya anak syarikat SK Nexilis seperti syarikat penapisan tembaga.
Pihaknya menjangkakan, dengan adanya operasi SK Nexilis di negeri ini, lebih banyak syarikat Korea akan melihat Sabah sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi tinggi.
Sementara itu, semasa lawatannya ke negeri ini, Yeo berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagi membincangkan pelaburan perdagangan dua hala yang bakal diterokai kedua-dua pihak.
Katanya, Ketua Menteri memiliki semangat tinggi dalam membangunkan lagi kerjasama industri dan ekonomi terutamanya untuk kejayaan operasi SK Nexilis.
Pihaknya mendapati konsensus yang sangat luas dari segi mempromosikan hubungan antara Sabah dan Korea dalam kalangan rakyat menerusi konsep pertukaran pelancongan dan juga perkongsian ekonomi serta perdagangan.
“Saya jelaskan kepada Ketua Menteri hasrat untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada pelabur asing dengan cara terbaik membantu SK Nexilis berjaya kerana kejayaan operasi dan penyiapan fasa akhir pembinaan kilang adalah sangat penting.
“Pertemuan dengan Ketua Menteri membawa perbincangan yang sangat produktif dan saya melihat usahanya untuk memastikan perkara ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalamannya berada di negara ini sejak dilantik sebagai Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.
Yeo berpendapat Malaysia sebuah negara yang indah dan mula jatuh cinta dengan keramahan rakyat dan kepelbagaian makanan yang lazat termasuk di Sabah.
“Itulah sebabnya ramai orang Korea memilih untuk melawat Sabah dan Malaysia. Kini separuh daripada jumlah warga Korea yang berkunjung ke Malaysia memilih untuk datang ke Sabah kerana negeri ini terkenal dari segi pemandangan yang indah selain budaya yang unik serta makanan yang lazat.
“Pelancong Korea sangat menyukai ini adalah tempat terbaik untuk perjalanan bersama keluarga atau ‘syurga’ buat pemain golf terutamanya semasa musim sejuk di Korea. Kota Kinabalu juga mempunyai pemandangan matahari terbenam yang terindah di dunia,” jelasnya.
Selain itu beliau turut memaklumkan Ketua Menteri mengenai keyakinannya terhadap populariti Sabah akan berterusan tetapi pada masa sama turut mementingkan jaminan keselamatan pelancong dan penduduk Korea di sini. Bukan sahaja keselamatan tetapi juga isu lain yang dihadapi oleh penduduk dan ahli perniagaan Korea.
Dalam pada itu, Yeo berkata, semasa mengadakan majlis makan malam bersama wakil masyarakat Korea dan ahli perniagaan di sini, sebahagian daripada mereka membangkitkan isu seperti visa yang perlu mengambil masa untuk mereka membuat permohonan visa baharu atau memperbaharuinya.
“Justeru, kita berharap kerajaan dapat membantu menangani isu berkenaan dengan memudahkan prosedur yang ditetapkan terutama dengan operasi pejabat konsulat Korea di sini,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai maklumat berkaitan peluang pelaburan di Sabah yang boleh disebarkan kepada komuniti perniagaan Korea, Yeo menjelaskan, perkara itu akan dapat diperkasakan hasil pertemuan meja bulat dengan pihak industri di negeri ini.
Beliau berkata, kehadiran pihaknya ke Sabah bersama wakil perniagaan Korea yang berpangkalan di Kuala Lumpur, serta pelbagai agensi berkaitan akan membantu lagi usaha itu.
“Melalui meja bulat ini saya ingin memberi peluang kepada usahawan Korea untuk lebih memahami mengenai pelan pembangunan hala tuju kerajaan negeri serta peluang kerjasama yang berpotensi dan juga memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk memahami jangkaan ahli perniagaan Korea.
“Saya berharap melalui pengalaman mewujudkan pelaburan SK Nexilis di sabah, kerajaan negeri boleh mendapatkan beberapa idea bagaimana untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada pelabur asing dan apa yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat itu.
“Sumber asli Sabah yang banyak seperti kayu balak, minyak dan gas dan juga solar memberikan kelebihan kepada Sabah selain dari segi lokasi geografi yang membolehkan akses mudah kepada dunia. Kedua-dua faktor ini sangat penting untuk menarik lebih ramai pelabur asing termasuk pelabur Korea,” jelasnya.
Namun begitu katanya, usaha lain yang membantu pelabur asing berjaya dalam membina operasi di negeri ini termasuk bekalan infrastruktur asas seperti air, gas, elektrik yang sangat penting untuk kelancaran operasi.
Pada masa sama jelasnya, penyediaan tenaga kerja yang boleh dipercayai adalah faktor lain bagi komuniti perniagaan. Pihaknya yakin melalui usaha bersama kerajaan negeri dan ahli perniagaan Korea yang disokong oleh kedutaan dan konsulat di Kota Kinabalu, ia boleh menjadikan Sabah sebagai hab di rantau ini dari segi industri berteknologi tinggi.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment