TONGOD: Seramai 243 pasangan pengantin di daerah ini menerima sumbangan ehsan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah sejak April 2018.
Masiung berkata, sumbangan yang sudah mencecah RM243,000 itu adalah inisiatifnya dan sebagai menunaikan janji manifesto ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Katanya, setiap pasangan yang baharu berkahwin di daerah ini akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 bagi membantu mereka memulakan kehidupan berumahtangga.
“Kelmarin kita turut memberikan sumbangan kepada 21 lagi pasangan pengantin yang berkahwin dalam satu majlis di Kampung Alitang, Penangah,” katanya.
Terdahulu, semua pasangan pengantin berkenaan diraikan dalam satu majlis mengikut tradisi suku Sungai di sebuah rumah rehat, di sini.
Masiung adalah satu-satunya wakil rakyat di Sabah yang memperkenalkan bantuan itu kepada setiap pasangan pengantin di kawasan beliau.
Add Comment