PENAMPANG: Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas memaparkan hakikat bahawa cadangan mengenai kerjasama di antara PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebenarnya tidak pernah wujud.
Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya perlu berterima kasih kepada Muhyiddin kerana memudahkan segala urusan dengan mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan PN menolak kerjasama dengan GRS.
“Ini memudahkan kerja kita kerana GRS tidak perlu membuat kenyataan menolak kerjasama dengan pihak-pihak tertentu, nanti kita nampak angkuh dan sombong.
“Biar orang lain bercakap dan kita alu-alukan, setakat ini urusan kita lebih mudah, tanpa kita minta…Barisan Nasional (BN) Sabah dan terkini PN menyatakan pendirian menolak GRS.
“Yang penting kita jalan terus, yang penting adalah ikhtiar mendapatkan sokongan rakyat, bukannya mana-mana blok gabungan lain,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Festival Pengguna (Confest 2025), pada Ahad di sini.
Beliau juga tidak berhasrat mengulas lanjut berhubung kenyataan Muhyidin kerana dalam politik, didikan yang dipelajarinya lebih baik mengelak bercakap berkaitan individu.
“Apatah lagi bila menyentuh seorang mantan Perdana Menteri yang amat dihormati. Namun, saya fikir kita perlu melihat nilai dan makna di setiap apa yang berlaku.
“Kita dapat dengar dalam ucapan mereka menyebut kita angkat Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menjadi wakil rakyat. Kita pilih Hajiji menjadi Ketua Menteri. Inilah yang perlu kita rintis perubahan dalam politik Sabah.
“Berada dalam gabungan dan parti nasional, pasti akan ada sentimen seumpamanya kerana untuk menjadi calon pilihan raya…pilihan dan watikah akan dikeluarkan oleh pimpinan dari Semenanjung Malaysia.
“Calon Ketua Menteri pula adalah daripada ketua pimpinan di negeri yang dilantik oleh pimpinan dari Semenanjung Malaysia. Maka, siapa juga dipilih akan dituntut untuk setia dan patuh kepada pimpinan utama parti di sana.
“Berbeza dengan parti lokal, calon-calon diputuskan dan watikah dikeluarkan oleh ketua parti lokal sendiri, dan Ketua Menteri adalah dalam kalangan ketua parti-parti lokal yang dipilih oleh orang kita di Sabah sendiri,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mahu mengambil pengajaran daripada perkara berkenaan supaya dijadikan panduan untuk membawa perubahan ke hadapan.
“Cukup-cukuplah ada sentimen yang menganggap mereka tuan. Merekalah ‘master’. Kita perlu hantar isyarat yang jelas bahawa ‘master’ itu bukan di sana tetapi di sini, dan ‘master’ itu ialah rakyat Sabah.
“Jadi, kita teruskan sahaja, walau apa juga pandangan mereka, kita jalan terus. Keputusan telah pun dibuat. Kini kita memilih parti lokal kerana kita ingin merintis perubahan itu,” katanya. – Utusan Borneo

























Add Comment