KOTA KINABALU: Projek Penyewaan Powership 224 megawatt (MW) yang diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah pada 12 Jun 2023 dibatalkan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pembatalan itu disebabkan oleh proses rundingan di antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Karpowership Global tidak mencapai persetujuan oleh kedua-dua pihak.
Menurutnya, projek berkenaan pada awalnya diluluskan sebagai projek ‘fast track’ bagi menangani isu jidar simpanan kritikal dengan tempoh penyewaan lima tahun (2023-2028).
Katanya, selepas diluluskan, proses seterusnya bagi projek itu adalah rundingan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) di antara SESB dan Karpowership di bawah penyeliaan Suruhanjaya Tenaga (ST) Malaysia.
Bagaimanapun jelasnya, pihak Lembaga Pengarah SESB memutuskan untuk menamatkan proses rundingan pada 15 September 2023 melalui surat makluman kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Karpowership Global.
“Seterusnya mesyuarat susulan mengenai keputusan ini diadakan di antara Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak), ECoS, SESB dan ST pada 20 September 2023 yang memutuskan pembatalan projek ini (untuk diselaraskan di dalam mesyuarat JPPPET Sabah) dan menyokong pelan alternatif oleh SESB dan ECoS.
“Pelan alternatif bagi menggantikan projek ini antaranya meneruskan pelan interim iaitu penyewaan diesel genset berkapasiti 100 MW yang akan dilanjutkan operasinya sehingga 2025, berbanding dengan perancangan asal iaitu untuk tempoh enam bulan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Annuar Ayub (STAR-Liawan) mengenai status pelaksanaan Projek Penyewaan Powership 224 pada sidang DUN hari ini.
Selain itu katanya, projek pemasangan ‘Battery Energy Storage System’ (BESS) berkapasiti 100 MW akan diawalkan operasinya pada 2024, berbanding dengan perancangan asal iaitu 2026.
Nizam berkata, pihak ECoS juga akan memperhalusi dan menyelaraskan perubahan Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) melalui mesyuarat JPPPET Sabah (atau Majlis Tenaga Sabah) pada awal tahun hadapan setelah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment