Home » Rebut Insentif Perniagaan Disediakan – Redonah
Uncategorized

Rebut Insentif Perniagaan Disediakan – Redonah

Menurut Redonah kerajaan akan berusaha mengetengahkan lebih ramai usahawan wanita di negeri ini terlibat secara aktif dalam dunia keusahawanan bagi memastikan golongan itu dapat bersaing dalam bidang perniagaan yang masih dikuasai oleh golongan lelaki.

KOTA KINABALU: Usahawan wanita perlu memiliki semangat, kekuatan serta keyakinan yang tinggi untuk menghadapi cabaran-cabaran dunia perniagaan dewasa ini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, golongan usahawan wanita disaran supaya merebut pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, kerajaan telah menyediakan banyak pakej pembiayaan perniagaan bagi mencapai matlamat tersebut. Golongn ini perlu direbut dan digunakan sepenuhnya untuk memajukan perniagaan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat AgungTahunan kali ke 2 2023 dan Retreat Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) Malaysia cawangan Negeri Sabah di Marina Court Kota Kinabalu di sini hari ini.

Hadir sama Yang DiPertua 1 Usahanita Malaysia Dato Faridah Jabbar, Pengerusi Usahanita Sabah Noraini Sulong serta ahli-ahli Usahanita Sabah.

Katanya pada masa yang sama, katanya, golongan tersebut perlu bijak merancang dalam usaha merealisasikan hala tuju perniagaan mereka.

“Golongan wanita perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang luas dan mampu bersaing serta menghadapi cabaran di era pembangunan ekonomi berpengetahuan

“Usahawan wanita perlu mengukuhkan konsep kongsi pintar dengan agensi-agensi kerajaan ini bagi memanfaatkan pelbagai tawaran dan insentif yang diberikan oleh agensi-agensi ini,” jelas beliau lagi.

Tambah Redonah pemerkasaan wanita juga merupakan satu agenda nasional yang menjadi wadah kepada pembinaan negara dan ekonomi. Peranan wanita khususnya mereka yang bergelar usahawan tidak pernah luntur dan kekal memainkan peranan sebagai penyumbang utama peningkatan ekonomi setempat dan secara amnya kepada negara.

EDITOR