Home » Sabah bergerak di jalur yang benar
Politik Sudut Pandangan

Sabah bergerak di jalur yang benar

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika berucap melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

DUA tiga hari ini media sosial dibanjiri ucapan Selamat Tahun Baharu 2024. Beraneka rupa, bermacam citra. Seindah jalur pelangi. Ada yang manis, tapi ada juga yang sinis. Demikian simpulan dari kebanjiran unggahan di media sosial yang masih berlegar sampai saat ini.

Apapun Tahun 2023 pastinya kita tinggalkan penuh nostalgia. Banyak kenangan terpahat. Jadi ingatan dan pedoman. Tentunya abadi sampai bila-bila.

Tidak dinafikan, setahun yang berlalu banyak cabaran dan tantangan. Melingkari semua aspek. Baik secara peribadi, mahupun seputar kehidupan.

Demikian juga di lapangan perekonomian, merentasi sempadan benua dan negeri. Banyak halangan menerjah pasca pandemik. Mengubah sistem dan struktur, mencipta landskap baharu.

Tidak ketinggalan kisah kepartian siasah dan gelora di panggung politik.

Namun, di sebalik cabaran dan tantangan itu, banyak harapan dan peluang terbentang luas di sepanjang tahun 2024 ini.

Diharapkan terbentuknya sebuah horizon baharu yang indah mempesona. Dengan suasana yang baik-baik saja. Tentu ini yang menjadi impian besar untuk dikejar oleh kita semua!

Di negeri Sabah juga demikian rupanya. Banyak cerita menghiasi perjalanan setahun yang sudah berlalu.

Tahun 2023 meninggalkan berbagai rencam. Banyak yang menggembirakan. Tidak kurang ada yang kurang menyenangkan. Semua datang silih berganti. Memberi pelajaran, sekaligus menguatkan dan semakin mempersatukan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, dalam perutusan tahun baharu 2024 mengimbau perjalanan tahun lepas yang tertuang pelbagai cabaran, tapi akhirnya tuntas berkat kesatuan rakyat yang teguh bersatu mengibarkan panji-panji Sabah Maju Jaya (SMJ).

Melepasi tiga tahun mengemudi pentadbiran negeri, Hajiji telah berjaya memposisikan Sabah di jalur yang benar dan kini melangkah ke tahun baharu 2024 dengan penuh optimis, membawa negeri menjadi lestari.

Selepas mengharungi tahun 2023 yang penuh cabaran — pandemik dan politik, ekonomi lokal dan global — kini Hajiji komited untuk meneruskan perjalanan Sabah pada jalur yang benar, dengan tekad `kesatuan rakyat’ sebagai inti harapan membugar kegemilangan negeri.

Dua hari memasuki tahun baharu 2024 ini, jajaran kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus, melangkah tegak dengan semangat dan optimisme bahawa Sabah sedang berjalan di atas jalur yang benar, sekali gus siaga menghadapi apa jua tantangan dan cabaran.

Di panggung politik, tahun 2023 mencipta sejarah duka dengan sebuah cubaan pementasan drama kudeta, namun kecundang lantaran skrip yang tidak tersusun rapi. Drama `Langkah Kinabalu’ itu bukan saja melukakan hati Hajiji, tapi juga menjadi titik hitam sejarah politik Sabah.

Setelah mengubat luka dan duka, Hajiji meneruskan langkah memajukan negeri menerusi pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang diperkenalkannya sebagai `destinasi kita bersama’.

Tanpa menoleh jejak-jejak hitam itu, beliau berkata: “Saya berasa terharu dan bersyukur kepada orang ramai dan semua penyokong yang sehaluan yang telah menyokong kami, percaya dengan keikhlasan kami untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah.”

Kemudian, dalam melangkah ke tahun baharu, beliau langsung mengajak rakyat: “Mari kita mengetepikan politik dan buang sebarang perpecahan yang hanya akan memecahbelahkan. Kita mesti melangkah ke tahun baharu dengan azam, bersatu dalam kepelbagaian, dan komited untuk melakukan yang terbaik mengikut mandat yang diberikan oleh rakyat.”

Bagi Hajiji, intinya adalah kesatuan kerana tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan Sabah selagi rakyat bersatu.

“Sebagai Ketua Menteri, saya komited untuk melihat Sabah yang kita cintai kekal bersatu, makmur dan inklusif. Kita akan kuat hanya apabila kita bersatu,” demikian janjinya kepada Sabah dalam menyongsong cabaran serta perjuangan baharu di tahun 2024 ini.

Hakikatnya, kerajaan GRS PH Plus telah berjaya membawa impak positif kepada pembangunan negeri, dengan mencipta kemajuan signifikan dalam pelbagai aspek yang membawa kesejahteraan kepada rakyat Sabah.

Belanjawan Sabah 2024 berjumlah RM5.701 bilion adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah.

Dan untuk mencapai kemajuan itu, Hajiji dan kerajaan negeri perlu dokongan serta sokongan semua pihak supaya Sabah tidak tersasar dari landasan jalur yang benar.

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.