TAWAU: Dunia kewartawanan di Tawau kehilangan seorang tokoh disegani apabila Pengerusi Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (PEWARTA), Allahyarham Shamry Mohd Sani, meninggal dunia hari ini.
Timbalan Pengerusi PEWARTA, Tamrin Jamil, berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kejutan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga media tempatan serta ahli persatuan.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin berdedikasi, mudah didekati dan sentiasa membantu rakan-rakan wartawan tanpa mengira latar belakang.
“Di bawah kepimpinan beliau, PEWARTA berkembang menjadi wadah penyatuan wartawan tempatan yang aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin, malah sahabat yang memahami dan menjadi sumber inspirasi kepada ramai wartawan muda,” katanya.
Tamrin berkata, pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam kepada komuniti media di Tawau yang kehilangan seorang tokoh penting dalam dunia kewartawanan setempat.
Allahyarham Shamry, 46, dilahirkan di Tawau dan memulakan kerjaya sebagai wartawan Utusan Borneo pada Ogos 1999 sebelum menamatkan perkhidmatannya pada 2018. Beliau turut pernah berkhidmat sebagai wartawan di TV3 bagi daerah Tawau, sebelum menceburi bidang perniagaan sendiri.
Selain aktif dalam dunia kewartawanan, beliau juga memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi DUN Apas serta aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
Sementara itu, seluruh warga PEWARTA menzahirkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan yang banyak berjasa kepada dunia kewartawanan di Tawau.
“Kami mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diberi kekuatan kepada keluarga untuk menghadapi kehilangan ini,” ujar Tamrin.
— TAMAT

























Add Comment