KOTA KINABALU: Kenyataan kononnya rakyat Sabah akan memberikan sokongan kepada Parti Warisan (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) hanya sekadar menyedapkan hati pemimpin parti itu sahaja.
Terdahulu, Ketua Wanita WARISAN Norfaizah Chua mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Sabah akan memberikan sokongan terhadap parti WARISAN pada PRN17 akan datang.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Pusat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan itu tidak betul kerana tiada asas untuk rakyat memberikan sokongan kepada mereka.
Katanya, sepatutnya Norfaizah bercermin muka dahulu sebelum membuat kenyataan sedemikian kerana WARISAN adalah parti yang telah ditolak rakyat pada PRN lepas.
“Parti itu turut dihukum sekali lagi pada PRU15 apabila hanya mempertahankan tiga kerusi Parlimen daripada lapan yang dimenangi pada PRU14, termasuk kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda Parti itu.
“Betul, parti WARISAN menjadi kerajaan negeri selepas PRN tahun 2018 disebabkan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat ketika itu, walaupun mereka tidak memenangi PRN,” katanya.Nizam berkata, WARISAN menjadi kerajaan hanya sebagai rekod, tiada tanda atau kesan positif yang boleh diingati rakyat kecuali gaya hidup pemimpin parti itu, sedangkan rakyat tidak mendapat pembelaan.
“WARISAN tidak mempunyai hala tuju selain hanya pandai bercakap kosong, bermain politik tidak matang dan mendendangkan isu-isu yang mereka sendiri gagal menyelesaikannya.
“Dengan sikap pemimpin seperti ini, rakyat Sabah pasti akan menolak parti WARISAN pada PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Beliau berkata, kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkaitan PRN17 akan diadakan sehingga tamat penggal adalah satu pengesahan bahawa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu melaksanakan semua perancangan dan merealisasikannya untuk dirasai rakyat.
Katanya, ia kerana sememangnya KPI sesebuah kerajaan apabila berjaya mencapai apa yang telah dirancang dan dibuat untuk kepentingan seluruh rakyat.
“Kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus mempunyai hala tuju yang jelas kerana setiap dimulakan mesti berakhir dengan hasil, bukannya seperti pemimpin WARISAN hanya gempak seperti tin kosong.
“Data tidak pernah berbohong dalam tiga tahun pemerintahan Ketua Menteri bersama kabinet dan pemimpin kerajaan, kutipan hasil negeri terus mencatat rekod melepasi angka RM5 bilion,
“Malah bagi tahun 2022 dan 2023 hampir mencecah RM7 bilion, ia suatu rekod yang tidak pernah dicapai sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pemimpim WARISAN sangat bimbang apabila semakin banyak projek-projek kerajaan untuk kepentingan rakyat direalisasikan, maka semakin hanyutlah mereka dan mungkin terkubur selama-lamanya.
“Cerita rekaan pemimpin WARISAN yang disampaikan oleh cytro upahan mereka memakan diri sendiri, kerana semakin hari terdedah bahawa apa yang mereka war-warkan hanya cerita bohong dan fitnah.
“Tidak sedarkah Norfaizah bahawa semakin hari parti itu kehilangan keahlian termasuk pemimpin. Maka parti yang telah ditolak oleh ahli dan pemimpin sendiri takkan pula disokong oleh rakyat,” katanya.
— TAMAT
Add Comment