TAWAU: Kerajaan Sabah yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor terus mendapat sokongan daripada wakil rakyat di negeri ini.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sokongan terhadap kerajaan negeri ketika ini semakin bertambah dan stabil.
Katanya, perkara ini jelas apabila kerajaan negeri mendapat sokongan daripada 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika terdapat cubaan untuk membentuk kerajaan pintu belakang sebelum ini.
“Saya menyangkal dakwaan pemimpin politik yang mengatakan kerajaan negeri tidak stabil kerana kita semakin mendapat sokongan daripada wakil-wakil rakyat di Sabah.
“Sokongan wakil rakyat terhadap kerajaan negeri sudah hampir mencecah kira-kira 50 orang dan lebih daripada separuh ADUN yang ada di negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Apas berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kursus Asas Kepimpinan Wanita Akar Umbi dan Pemimpin Politik, di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan melayan karenah pemimpin politik yang hanya mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat.
Nizam berkata, kerajaan negeri mahu terus fokus membangunkan Sabah dan memajukan segala kekurangan yang selama ini jauh ketinggalan.
“Kita sudah menunjukkan kemampuan selama memimpin negeri ini dengan baik dan banyak lagi agenda yang sudah dirancang supaya Sabah terus membangun.
“Saya ingin menasihatkan pemimpin politik di negeri ini supaya jangan terlalu banyak bermain politik, sehingga lupa tanggungjawab yang sepatutnya untuk mensejahterakan rakyat dan memajukan negara,” katanya.
Mengulas mengenai program tersebut, Nizam berkata, kursus ini sangat bermanfaat kerana dapat memberi ilmu pengetahuan kepada wanita tentang peranan mereka.
Katanya, kerajaan turut mengiktiraf golongan wanita kerana mereka juga banyak membantu dan memainkan peranan dalam pembangunan negara.
“Golongan wanita harus bergerak aktif bersama-sama dengan kepimpinan dan kerajaan yang ada kerana pandangan mereka sangat diperlukan dalam memajukan negara.
“Kita mahu orang luar beranggapan bahawa wanita yang ada di negara ini sebagai golongan profesional dan mampu menjadi pemimpin politik yang disegani,” katanya.
Terdahulu, seramai hampir 100 orang wanita daripada Tawau, Kalabakan, Lahad Datu, Semporna dan Sandakan menyertai kursus yang dianjurkan ini.
Turut hadir, Pengerusi Induk Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas, M Aziriansyah Ali.
Add Comment