KOTA KINABALU: Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI Diesel di Sabah perlu disemak semula dengan mengambil kira keluasan negeri, jarak perjalanan, keadaan muka bumi serta kebergantungan tinggi rakyat terhadap kenderaan dan peralatan berasaskan diesel.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, penyeragaman kuota subsidi antara Sabah dan Semenanjung Malaysia tidak wajar dilaksanakan secara sama rata kerana kedua-duanya mempunyai realiti geografi, taburan penduduk dan corak penggunaan bahan api yang berbeza.
Beliau berkata, diesel merupakan keperluan asas bagi sebahagian besar rakyat Sabah, khususnya petani, pekebun, nelayan, peniaga kecil, kontraktor dan masyarakat luar bandar.
“Di Sabah, perjalanan antara daerah dan kawasan pedalaman melibatkan jarak yang jauh, manakala sistem pengangkutan awam masih terhad. Kenderaan pikap pula menjadi pengangkutan utama untuk membawa hasil pertanian, peralatan kerja, barangan dan keperluan harian.
“Justeru, kuota subsidi diesel perlu ditentukan berdasarkan realiti setempat dan bukan semata-mata mengikut jumlah penggunaan atau formula yang seragam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Redonah, sektor pertanian, perikanan, pembinaan, pengangkutan dan perusahaan kecil di Sabah masih bergantung kepada diesel bagi meneruskan operasi harian.
Katanya, bahan api itu turut digunakan untuk bot, generator dan pelbagai peralatan kerja di kawasan yang belum menerima kemudahan asas secara menyeluruh.
Beliau berkata, peningkatan kos diesel akan memberi kesan langsung kepada kos operasi, pendapatan rakyat dan harga barangan, sekali gus meningkatkan tekanan kos sara hidup.
Sehubungan itu, Wanita Gagasan Rakyat merayu Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peningkatan kuota subsidi BUDI MADANI Diesel khusus untuk Sabah.
“Pendekatan yang lebih fleksibel dan adil bukan sahaja dapat mengurangkan beban rakyat, malah membantu memelihara kelangsungan ekonomi luar bandar serta memastikan pembangunan Sabah dapat diteruskan secara mampan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Senator Datuk Anna Bell Perian, menyokong penuh langkah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengarahkan semakan terperinci terhadap pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai langkah tepat dan bertanggungjawab kerana mengambil kira keperluan sebenar rakyat serta keadaan ekonomi negeri.
Anna Bell berkata, isu utama bukan untuk menolak pelaksanaan subsidi bersasar, sebaliknya memastikan mekanisme dan syarat kelayakannya benar-benar sesuai dengan realiti kehidupan rakyat Sabah.
“Landskap Sabah jauh berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Negeri ini mempunyai kawasan yang luas, taburan penduduk berselerak, jaringan jalan raya pedalaman yang terhad dan kebergantungan logistik yang tinggi terhadap kenderaan diesel.
“Pendekatan satu formula untuk semua berisiko meminggirkan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan, termasuk petani, pekebun kecil, nelayan, pengusaha luar bandar dan usahawan mikro,” katanya.
Beliau berkata, syarat kelayakan yang terlalu ketat tanpa mengambil kira keadaan di lapangan boleh menyebabkan matlamat membantu rakyat bertukar menjadi beban kepada golongan sasar.
Menurutnya, tindakan kerajaan negeri membawa isu berkenaan ke peringkat Jemaah Menteri Negeri serta mempergiat libat urus dengan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan membuktikan pentadbiran negeri tidak menerima sesuatu dasar secara membuta tuli.
Sebaliknya, katanya, kerajaan negeri berusaha memastikan setiap dasar Persekutuan dilaksanakan secara adil, praktikal dan berkesan di Sabah.
“Dasar subsidi bersasar tidak ditolak, tetapi kaedah pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan ekosistem negeri. Ini bukan tuntutan untuk layanan istimewa, tetapi soal keadilan dalam pentadbiran.
“Dasar awam yang baik bukan sekadar kelihatan sempurna di atas kertas, tetapi mesti benar-benar berkesan apabila dilaksanakan,” katanya.
Anna Bell berkata, semakan itu juga penting bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang layak tanpa ketirisan, di samping melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi Sabah.
Beliau berkata, pendirian Hajiji mencerminkan sebuah pentadbiran yang responsif, praktikal dan mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam pelaksanaan sesuatu dasar.

























Add Comment