Home » Empangan Cinta Mata Capai 64% Siap 2028,atasi krisis air Tawau
Berita GRS Politik

Empangan Cinta Mata Capai 64% Siap 2028,atasi krisis air Tawau

Lo menjawab pertanyaan wartawan dalam sesi libat urus mengenai kemajuan Skim Bekalan Air Tawau Fasa III, sebagai usaha memberi maklumat tepat kepada rakyat.

TAWAU: Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III di Empangan Cinta Mata kini mencapai 64 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028, sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap isu bekalan air yang sekian lama membelenggu penduduk daerah ini.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, berkata pelaksanaan projek bernilai tinggi itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Tawau menikmati bekalan air bersih dan stabil selepas bertahun-tahun berdepan masalah catuan air.

Katanya, taklimat serta lawatan tapak projek bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Air Tawau pada Sabtu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa projek ini benar-benar berjalan dan bukan sekadar slogan politik.

Pemandangan tapak projek Empangan Cinta Mata yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028 bagi menyelesaikan isu bekalan air di Tawau.

“Selepas penerangan ini, rakyat mendapat maklumat tepat mengenai perkembangan pembinaan empangan dan kita harap jadual siap 2028 dapat dipatuhi.

“Namun, kita tidak hanya menunggu projek siap sepenuhnya, penyelesaian jangka pendek dan sederhana turut digerakkan termasuk menambah lori penghantaran air serta kerjasama proaktif dengan konsesi pembekal,” katanya.

Menurut Lo, kelewatan projek sebelum ini berpunca daripada pertukaran kerajaan serta sekatan akibat pandemik COVID-19 yang menjejaskan kelulusan permit pekerja asing.

“Projek ini bermula pada 2016, namun beberapa kali tertangguh. Ia hanya disambung semula pada 2023 dan kita berharap kali ini ia siap mengikut jadual,” ujarnya.

Selain pembinaan empangan, Lo berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh dasar termasuk penggubalan akta berkaitan bagi menangani isu bekalan air dan kadar kehilangan air tanpa hasil (Non-Revenue Water) yang mencecah 55 peratus di Tawau.

Sementara itu, ADUN Balung, Datuk Hamild Awang, berkata pembinaan Loji Rawatan Air Balung II dijangka bermula pada 2026 dan siap pada 2029 untuk menampung keperluan air di DUN Balung dan Apas.

“Loji sedia ada hanya mampu membekalkan 22 juta liter sehari berbanding keperluan sebenar 30 juta liter. Apabila Loji Balung II siap, masalah ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pelbagai inisiatif sementara sedang dilaksanakan termasuk penghantaran bekalan air menggunakan lori JANS dan swasta, serta penyediaan tangki statik di kampung terjejas seperti Kampung Serudung, Blok 31 dan Kongsi 10.

Hamild turut merakamkan penghargaan kepada Lo yang membantu menyediakan telaga tiup sebagai alternatif sementara untuk penduduk Kampung Kongsi 10.

Lawatan tapak ke Empangan Cinta Mata turut disertai pemimpin masyarakat, NGO dan wakil media sebagai sebahagian program libat urus Jabatan Air Tawau bersama rakyat.

— TAMAT