PITAS: Golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga dalam kalangan kurang berkemampuan kini berpeluang memiliki rumah sendiri melalui program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), apabila kerajaan negeri memperuntukkan 10 unit tambahan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penambahan itu menjadikan 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap DUN bermula tahun depan, berbanding 40 unit pada tahun ini.
“Dulu hanya ada empat atau lima buah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), tetapi tahun ini kita sediakan 40 buah Rumah Mesra SMJ. Tahun depan, kita naikkan kepada 50 unit bagi membantu lebih ramai rakyat susah.
“Tambahan 10 unit itu dikhaskan kepada anak muda yang kurang berkemampuan dan baru berkahwin kerana kita faham masih ramai pasangan muda tinggal bersama keluarga selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Kampung Taka, di sini.
Mengulas projek perumahan dan kedai LPPB tersebut, Hajiji berkata projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 37.60 ekar itu akan memberi impak besar kepada penduduk setempat, bukan sahaja melalui peluang pemilikan rumah, tetapi juga aktiviti ekonomi dan keusahawanan.
Projek itu melibatkan pembinaan 320 unit rumah (berkembar setingkat dan teres setingkat) serta 171 unit premis perniagaan termasuk pasar raya besar, pejabat dua tingkat, bilik pameran dan kios.
“Kerjasama kerajaan dan swasta dalam projek ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah membolehkan dana negeri digunakan untuk memperkukuh sektor sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa pembangunan luar bandar tidak diabaikan, termasuk daerah Pitas yang terus menerima pelbagai projek sejak lima tahun lalu.
Antaranya, pembinaan mini kompleks sukan, terminal bas awam bernilai RM1 juta, serta rumah budaya bernilai RM1.4 juta di Dataran Pitas.
Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada projek ternakan udang Yayasan Sabah yang terbengkalai agar dapat diaktifkan semula bagi menjana ekonomi tempatan.
Pada majlis sama, Hajiji menyerahkan 468 geran tanah melibatkan keluasan 1,273 hektar kepada penerima, termasuk di bawah Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) dan permohonan Tanah Negeri (NT).
— TAMAT

























Add Comment