TAWAU: Penambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan disifatkan sebagai langkah tepat yang berpaksikan keperluan rakyat, khususnya golongan muda berpendapatan rendah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata inisiatif berkenaan akan membantu pasangan muda yang masih bergelut dengan isu perumahan dan kos sara hidup.
Katanya, pengumuman itu, yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor baru-baru ini, jelas membuktikan keprihatinan serta kesungguhan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
“Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan Rumah Mesra SMJ meningkat kepada 50 unit bagi setiap DUN di seluruh Sabah. Ia membuka peluang kepada lebih ramai rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.
Menurutnya, langkah itu menjadi bukti keberkesanan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Pelaksanaan projek perumahan ini menunjukkan keberanian dan keikhlasan kerajaan negeri dalam membawa pembangunan yang inklusif merangkumi bandar dan luar bandar. Pendekatan kerjasama awam-swasta yang digunakan juga strategi bijak, bukan sahaja mempercepatkan pembangunan, malah membolehkan dana negeri digunakan untuk program sosioekonomi lain yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan, kejayaan pelan pembangunan SMJ membuktikan ia bukan sekadar slogan politik, sebaliknya agenda tindakan nyata yang dilaksanakan secara konsisten berdasarkan keperluan sebenar rakyat. “Golongan muda perlu melihat inisiatif ini sebagai bukti bahawa kerajaan GRS bekerja dengan fokus dan keikhlasan demi kesejahteraan rakyat, bukan sekadar janji menjelang pilihan raya,” ujarnya.
— TAMAT

























Add Comment