KOTA KINABALU: Isu penggunaan nama Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Datuk Abd Ghani Mohd Yassin dalam permohonan tanah penduduk di daerah Nabawan sepatutnya tidak dipolitikkan demi kepentingan mana-mana pihak.
Abd Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan berkata, penilaian prosedur permohonan tanah bilangan 20-23150247 seluas 320 ekar atas namanya itu juga tidak melanggar dan mengganggu prosedur Jabatan Tanah dan Ukur dan Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).
Katanya, penduduk merancang terlebih duhulu memohon kawasan berkenaan dengan tujuan menubuhkan koperasi untuk projek ternakan dengan usahasama LKTNS.
“Cuma masalahnya koperasi berkenaan dalam peringkat pemprosesan permohonan dan pemimpin masyarakat di kawasan itu tidak yakin dan amat khuatir tidak dapat bersaing dengan individu-individu dan syarikat yang mempunyai kemampuan dan sumber yang luar biasa.
“Sehubungan itu, mereka berjumpa dan merayu kepada saya sekiranya permohonan ini dapat dibuat atas nama saya bersifat sementara dengan syarat pemilikan tanah itu akan diserahkan semula kepada mereka yang terlibat dalam perancangan penubuhan koperasi.
Beliau berkata, pemimpin masyarakat di kawasan itu juga beranggapan penggunaan nama ADUN Nabawan itu juga dapat menjadi ‘benteng pertahanan’ untuk menghalang permohonan individu dan syarikat terbabit.
“Selepas mendengar penjelasan dan rayuan mereka, maka saya secara ikhlas pun bersetuju tetapi dengan bersyarat. Sekiranya ada isu-isu negatif yang muncul kerana ini, mereka hendaklah bersedia untuk memberikan penjelasan.
“Apabila sampai masanya nanti, saya akan menarik diri dan menyerahkan perkara ini untuk diteruskan dan diberi milik kepada koperasi yang dicadang itu.
Abd Ghani turut menegaskan dirinya bukanlah pemimpin yang memperalatkan kedudukan untuk kepentingan peribadi.
Menurutnya, kawasan yang dipohon penduduk itu berada di bawah Hutan Simpan Pensiangan Kelas II yang dibubarkan dan kini diwartakan sebagai Tanah Kerajaan Tatalaan.
“Pemimpin masyarakat dapati banyak permohonan daripada orang luar daerah Nabawan dan syarikat-syarikat luar juga sangat berminat untuk memohon tanah berkenaan khususnya Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk membalak.
“Hampir semua kawasan membalak dengan syarat TOL adalah sebelum September 2020 manakala, beberapa lagi penduduk kampung lain tidak mahu tanah ini jatuh ke tangan orang luar dan syarikat-syarikat luar,” katanya.
Add Comment