Home » GRS gabungan terbaik memerintah Sabah
Uncategorized

GRS gabungan terbaik memerintah Sabah

TERIMA KASIH: Joachim (tengah) menyampaikan cendera kenangan kepada Penasihat Perdana pbs Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tiga kiri) ketika di majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini merupakan penyatuan politik terbaik untuk memerintah negeri ini.


Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, perkembangan politik di negeri ini dilihat sangat aktif dengan keputusan beberapa pemimpin dari UMNO dan Parti Warisan (WARISAN) keluar dari parti masing-masing.


“Kita juga dapat melihat tertubuhnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang selari dengan permintaan rakyat negeri ini untuk menjadikan GRS sebagai satu gabungan untuk semua parti tempatan.


“Saya berpendapat bahawa apa pun yang berlaku, ia memberikan kelebihan kepada GRS…GRS semakin kukuh dan saya percaya inilah gabungan yang terbaik untuk memerintah negeri ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun PBS ke-38 di sini, semalam.


Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.


Maximus berkata, PBS juga semakin matang dengan pelbagai pengalaman lalu yang mendewasakan parti itu.


Katanya, PBS kini matang dengan memiliki ahli-ahli yang cekal hati, tahan lasak, berwawasan dan berintegriti.
 
Selain itu katanya, Akta Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.


“Sekiranya Akta Anti Lompat Parti diluluskan di DUN Sabah, isu ahli politik yang ingin ‘melompat’ setelah menang mungkin akan berlaku dalam suasana berbeza.


“Mereka akan menjadi lebih kreatif untuk berhijrah ke parti lain, kerana budaya lompat parti ini seakan sangat sinonim dengan Sabah. 


“Oleh itu, kita perlu ‘think outside the box’ untuk menangani masalah ini sebelum ia berlaku,” katanya.

— Yap Siong Han