KOTA KINABALU:Rakyat dan pemimpin Sabah perlu memperkukuh kesatuan dalam membawa suara negeri supaya lebih kuat dan dihormati, khususnya dalam usaha memastikan pembangunan lebih seimbang serta masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata sempena ulang tahun ke-63 pembentukan Malaysia, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diperkukuh seiring usaha memastikan pembangunan Sabah mendapat perhatian sewajarnya.
“Mungkin kebetulan, tahun ini kita meraikan pembentukan Malaysia yang ke-63 tahun dan dalam masa yang sama kita mahu pelaksanaan MA63 terus diperkukuh.
“63 tahun kita bersama dalam Malaysia. Banyak yang telah kita capai, namun masih ada ruang yang perlu kita perbaiki, khususnya dalam pembangunan Sabah,” katanya.
Azrul berkata, jurang kemajuan infrastruktur antara Sabah dan Semenanjung menunjukkan masih banyak yang perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
Menurutnya, Kerajaan Negeri perlu terus berusaha meningkatkan hasil serta memperkukuh kedudukan kewangan negeri, manakala Kerajaan Persekutuan mempunyai peranan penting dalam memastikan keperluan pembangunan Sabah diberi perhatian sewajarnya.
“Apa yang rakyat harapkan bukan sekadar perbahasan mengenai siapa yang bertanggungjawab. Rakyat mahu melihat keperluan asas kehidupan diselesaikan, pendidikan yang berkualiti dan peluang pekerjaan yang lebih luas.
“Ini yang sedang diikhtiarkan oleh Kerajaan Negeri dan memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan. Maknanya, semua ini memerlukan kerjasama yang baik antara kedua-dua kerajaan,” katanya.
Azrul berkata, dasar pembangunan yang baik memerlukan kesinambungan supaya pelaksanaannya dapat diteruskan dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
Beliau berkata, pengalaman politik Sabah pada masa lalu — termasuk episod ketidakstabilan pentadbiran dan pertukaran Ketua Menteri — perlu dijadikan pengajaran dalam memastikan agenda pembangunan negeri tidak terganggu.
Menurutnya, kestabilan politik tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan jumlah kerusi Parlimen atau pihak yang membentuk kerajaan, sebaliknya perlu dilihat daripada keupayaannya diterjemahkan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Namun, kita perlu mengakui realiti politik. Dalam banyak keadaan, angka dan kekuatan sokongan turut menentukan sejauh mana sesuatu suara mendapat perhatian dan pembangunan dapat dipercepatkan. Sabah telah melalui pelbagai pengalaman mengenainya sejak sekian lama,” katanya.
Azrul berkata, rakyat dan pemimpin Sabah kini perlu bersama-sama menulis “buku baharu” mengenai masa depan negeri dengan memberi tumpuan kepada kemajuan, pembangunan lebih seimbang serta peluang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Yang lalu kita jadikan pengajaran. Yang mendatang kita bina bersama. Sebab itu kita perlu bersatu. Rakyat dan pemimpin bersatu dalam membawa suara Sabah agar menjadi lebih kuat dan dihormati,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan kerajaan, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta kesatuan antara pimpinan dan rakyat merupakan antara asas penting untuk Sabah terus bergerak ke hadapan.
“Rakyat Sabah tidak menuntut lebih daripada apa yang menjadi hak mereka. Rakyat Sabah hanya mahu pembangunan yang sepatutnya sampai kepada mereka dan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
“Ini masanya, kita noktahkan harapan ini bersama,” katanya.

























Add Comment