KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak ternoktah selepas pembentukan Malaysia dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya komitmen serta tanggungjawab yang terkandung di dalamnya kekal relevan dan mengikat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sempena sambutan Hari Malaysia, semua pihak perlu memahami dengan lebih mendalam sejarah serta asas pembentukan Persekutuan Malaysia, termasuk kepentingan Artikel VIII MA63.
Menurutnya, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen dan tanggungjawab pihak-pihak yang memeterai perjanjian bagi membentuk Malaysia pada 1963.
“Terma ini adalah penegasan kepada komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang bersetuju memeterai perjanjian bagi membentuk sebuah Persekutuan Malaysia,” katanya, Rabu.
Armizan berkata, Malaysia yang dibentuk pada 1963 kini berusia 63 tahun, manakala 16 September mula diangkat sebagai cuti umum kebangsaan sempena Hari Malaysia pada 2010.
Beliau berkata, pemahaman mengenai sejarah pembentukan negara perlu merangkumi bukan sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, tetapi juga MA63 yang disifatkannya sebagai “sijil lahir” Persekutuan Malaysia.
Armizan berkata, Malaysia tidak memerlukan perjanjian baharu atau apa yang disebut sesetengah pihak sebagai “new deal”, sebaliknya komitmen yang telah dipersetujui menerusi MA63 perlu terus difahami dan dilaksanakan.
“Ini kerana hakikatnya terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan.
“MA63 itu terus hidup dan komitmen serta tanggungjawab yang digariskan itu kekal relevan dan mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya.
Beliau turut berharap semangat Hari Malaysia dapat memperkukuh kefahaman rakyat mengenai sejarah pembentukan negara serta tanggungjawab bersama dalam memelihara Persekutuan Malaysia. Armizan berharap Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara yang lebih utuh dan maju, selain kekal makmur serta selamat untuk seluruh rakyat.

























Add Comment