KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang, meninggal dunia pada usia 73 tahun di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, tengah hari Ahad.
Allahyarham yang mesra dikenali sebagai “Datuk K” merupakan antara tokoh veteran politik Sabah dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam arena politik negeri, termasuk berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013.
Pemergian beliau disahkan bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Aidi Moktar, yang memaklumkan Allahyarham kembali ke rahmatullah di kediamannya.
Berasal dari Kampung Brunei, Kimanis, Karim memulakan khidmatnya sebagai wakil rakyat selepas memenangi kerusi DUN Bongawan pada 1990 atas tiket Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Beliau kemudiannya menyertai UMNO dan terus mempertahankan kerusi Bongawan dalam beberapa pilihan raya sehingga penggal terakhirnya berakhir pada 2013.
Sepanjang penglibatan dalam pentadbiran negeri, Allahyarham pernah diberikan amanah sebagai Pembantu Menteri dalam Kabinet Negeri Sabah, termasuk dalam portfolio berkaitan pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar.
Selepas tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Bongawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013, Karim meneruskan penglibatannya dalam politik dengan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).
Beliau kemudiannya bertanding bagi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU14 pada 2018 dan tewas tipis kepada Datuk Seri Anifah Aman dengan majoriti 156 undi.
Karim sekali lagi bertanding bagi kerusi sama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020.
Perjalanan politiknya memasuki satu lagi fasa apabila beliau meninggalkan Warisan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Mac 2024 dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden parti, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Sepanjang lebih tiga dekad dalam politik Sabah, Karim melalui beberapa fasa perubahan landskap politik negeri, daripada era USNO dan UMNO sehingga Warisan dan Gagasan Rakyat.
Pemergian Allahyarham mendapat perhatian pemimpin serta rakan-rakan politik yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga, selain mengenang khidmat dan sumbangan beliau sepanjang berada dalam arena politik serta pentadbiran negeri.

























Add Comment