SIKAP masyarakat Sabah yang begitu mengambil berat tentang pelbagai isu di negeri itu, terutama sekali isu-isu mengenai pembangunan dan kemudahan asas, patut dipuji.
Hakikat itu menunjukkan bahawa rata-rata rakyat Sabah sebenarnya sangat bermotivasi untuk melihat dan mengharapkan Sabah menjadi sebuah negeri yang makmur, berdaya saing dan maju jaya.
Kerana itu, rakyat Sabah mempunyai tanggungjawab besar sebagai sebuah sinergi atau pasukan yang kuat untuk sama-sama memikul tanggungjawab membangunkan rakyat dan negeri Sabah.
Dengan kata lain, sinergi itu jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan mengikut apa yang difikirkan baik, boleh menguntungkan rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan fahaman politik.
Dalam hubungan ini, apa juga dasar yang diperkenal dan dilaksanakan oleh kerajaan memerintah tidak mungkin dapat direalisasikan sepenuhnya tanpa sokongan, bantuan dan kerjasama rakyat.
Pada waktu yang sama, peranan penjawat awam, swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga sangat penting dalam menjayakan agenda memaju dan membangunkan rakyat dan negeri.
Secara rasionalnya, setiap dasar pembangunan yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak mungkin sama sekali bertujuan untuk menyusahkan rakyat atau membawa kemunduran kepada negara.
Begitulah hakikatnya dengan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji bin Haji Noor.
SMJ tidak boleh dikatakan sebagai agenda politik ataupun dianggap retorika, kerana misi SMJ adalah untuk membangunkan rakyat dan negeri Sabah, dan itulah tugas dan tanggungjawab Kerajaan sekarang, terutama sekali Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah.
Dalam erti kata sebenar, SMJ adalah inisiatif dan komitmen tulen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji untuk menerus dan melaksanakan agenda membangunkan sosio-ekonomi rakyat dan negeri Sabah.
Untuk tujuan itu, dasar pembangunan SMJ dilengkapkan dengan pelan tindakan yang mengisi secara khusus setiap acuan pelaksanaannya.
Walaupun pelaksanaan SMJ berjalan lancar sejak ia dilancarkan pada Mac 2021, masih juga timbul pelbagai polemik mengenainya.
Kempen memburuk-burukkan SMJ telah sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat Sabah, sehingga ada yang memikirkan bahawa segala masalah yang timbul dan melanda Sabah mempunyai hubungan-kait dengan SMJ.
Maknanya, dasar Hala Tuju SMJ mendapat perhatian rakyat Sabah dan tentu sekali mereka mengikuti perkembangan dan pencapaian pelan pembangunan itu.
Dari satu segi, golongan yang memperlekehkan SMJ itu sebenarnya bersetuju dan mengakui (acknowledge) bahawa rakyat dan negeri Sabah sangat memerlukan pembangunan.
Ertinya, golongan yang bersikap sinis terhadap SMJ itu juga mengakui bahawa memang ada keperluan mendesak untuk merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif pembangunan untuk mengangkat martabat dan memperkasakan sosio-ekonomi rakyat dan negeri.
Golongan itu hanya tidak mahu mengakui bahawa SMJ itu, lebih-lebih lagi jika pelan pembangunan itu berjaya dilaksanakan, sebenarnya merupakan aspirasi rakyat.
Golongan pengkritik SMJ itu sebenarnya sedar, tahu dan sangat memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negeri Sabah, tetapi sayang sekali kerana mereka memilih untuk menjadi sebahagian daripada masalah itu, bukan untuk menyelesaikannya.
Namun, saya percaya bahawa rata-rata rakyat Sabah memilih untuk bersikap lebih terbuka dan menyokong pelaksanaan SMJ dan bukan pula menjadi penghalang utama terhadap usaha murni Kerajaan Negeri itu.
Persoalannya, bagaimanakah agaknya situasi jika Hajiji dan Kerajaan GRS tidak memperkenalkan Hala Tuju SMJ?
Adakah rakyat Sabah akan lebih bermotivasi dan rela menunggu sehingga sebuah kerajaan baharu ditubuhkan, kerana mereka sangat yakin bahawa kerajaan baharu itu kelak akan mengemukakan atau memperkenalkan dasar pembangunan yang lebih hebat dan sangat luar biasa?
Naratifnya kedengaran seperti pepatah: mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Mengharapkan keuntungan besar tetapi tidak tentu, keuntungan kecil yang sudah pasti dilepaskan.
Sebagai wartawan saya juga bertanya: Apakah pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya dalam tempoh dua tahun?
Untuk mencari jawapannya, saya baca laporan setebal 65 muka surat yang disediakan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya bertajuk: DUA TAHUN ASPIRASI SABAH MAJU JAYA.
Secara keseluruhannya, laporan itu memperincikan pencapaian SMJ dalam tempoh 2020-2022. Agak panjang jika dijhuraikan kesemuanya di dalam halaman ini.
Saya cuma memetik satu bahagian Laporan itu mengenai Pemantapan Integriti Perkhidmatan Awam Negeri Melalui Pelan Anti Rasuah Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian.
10 Kementerian dan Jabatan Ketua Menteri telah merangka dan menyiapkan Pelan Antirasuah.
Laporan itu menyatakan langkah-langkah yang telah dilaksanakan untuk menaiktaraf unit integriti kepada bahagian integriti dan governans Negeri Sabah.
Hajiji sendiri merasmikan sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah.
Pemantapan integriti perkhidmatan awam yang sesungguhnya bertujuan membanteras rasuah adalah sangat penting dan signfikan kerana ia memberi kesan positif terhadap sistem penyampaian kerajaan.
Langkah itu menunjukkan bahawa Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah mementingkan ketelusan dan integriti dalam mengurus-tadbir negeri Sabah.
Setelah membaca keseluruhan Laporan Dua Tahun Aspirasi Sabah Maju itu, agar sukar untuk mengatakan bahawa Kerajaan GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor hanya berpeluk tubuh dan tidak melakukan apa-apa untuk membangunkan rakyat dan negeri Sabah.
Hakikatnya, rakyat Sabah dapat melihat dan sudah mula merasai kesan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
*Emin Madi adalah penulis dan wartawan veteran Sabah. Penulisan merupakan pandangan beliau.
Add Comment