Home » GRS bina Sabah, Musli Oli bina Cerita: Bila dunia Khayalan menyerang dunia realiti
Politik Sudut Pandangan

GRS bina Sabah, Musli Oli bina Cerita: Bila dunia Khayalan menyerang dunia realiti

GRS membina kemajuan di dunia nyata, Musli (gambar) pula membina cerita di dunia khayalan. Foto: Musli Oli

Dalam politik Sabah, kini wujud dua dunia yang berjalan serentak: dunia nyata dan dunia khayalan.

Di dunia nyata, Kerajaan GRS di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sedang sibuk bekerja: membangunkan negeri, memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan, dan memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Di dunia khayalan pula, Musli Oli menjadi wira bersenjatakan papan kekunci taip dan perasaan tidak puas hati yang tidak pernah surut. Di sana, dia sentiasa betul, sentiasa hebat, dan semua orang lain salah belaka.

Bezanya mudah: GRS bekerja dengan tangan, Musli bekerja dengan jari.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

Musli semakin selesa tinggal dalam alam ciptaannya sendiri, dunia di mana dakwaan dianggap fakta, di mana fitnah dianggap kebenaran, dan di mana dirinya dianggap penyelamat yang tidak pernah tersilap langkah. Katanya GRS lemah, tidak tegas, gagal. Seolah-olah dia lupa siapa yang berjaya mengembalikan kestabilan selepas politik Sabah dilanda badai selama bertahun-tahun.

Lucunya, pada saat kerajaan berpeluh membina jalan kampung dan rumah rakyat, Musli pula berpeluh menaip teori kononnya dialah satu-satunya suara waras yang masih tinggal. Di dunia nyata, GRS menyiapkan projek. Di dunia Musli, yang siap hanyalah perenggan panjang penuh kekecewaan dan rasa dirinya penting.

Dia menulis seolah-olah memahami denyut nadi rakyat. Tetapi bila rakyat benar-benar perlukan bantuan, yang hadir bukan Musli. Yang turun padang ialah pemimpin yang berkerja bermandi peluh untuk membantu rakyat. Musli mungkin tahu menulis tentang rakyat, tetapi kakinya sudah lama tidak menjejak lumpur kampung.

Menulis itu bagus, asalkan berlandaskan kebenaran. Tetapi bila tulisan hanya menjadi cermin ego, ia memantulkan kekecewaan yang ditenun menjadi fitnah. Dan Musli, sayangnya, terlalu lama memandang dirinya dalam cermin itu sehingga gagal membezakan realiti dan fantasi.

GRS tidak perlu menjerit untuk membuktikan kerja kami. Kami tidak perlu membentangkan karangan untuk menagih pujian. Kami bekerja supaya rakyat dapat merasai hasilnya sendiri. Itulah “artikel” sebenar kami.

Menjelang hari pengundian nanti, rakyat Sabah perlu berfikir dengan waras:
siapa yang berpeluh bekerja, dan siapa yang hanya berpeluh menaip?

Kerana sejarah tidak menulis tentang siapa paling bising di media sosial, tetapi siapa paling banyak berbakti. Dan di halaman itu nanti, nama GRS akan tercatat sebagai kerajaan yang mengangkat Sabah ke era baharu untuk kestabilan dan kemajuan.

Manakala nama Musli Oli…Tidak akan berdiri megah dalam sejarah Sabah. Ia hanya akan terdampar kecil di kaki halaman nota sisi tentang seorang lelaki yang menyangka dirinya negarawan hanya kerana pandai menulis marah-marah di Facebook. Sejarah tidak akan mencatatnya dengan tinta emas; paling tinggi pun dakwat simpati. Simpati kepada seorang yang sudah kehilangan pentas, lalu menukar papan kekunci taipnya menjadi mimbar untuk memaki.

Dia mungkin rasa dirinya penulis besar, tetapi bagi sejarah, dia hanyalah gema kosong, suara yang menjerit dari tebing masa lalu yang semakin sunyi. Sementara pemimpin bekerja, dia sibuk menabur prasangka. Dan apabila semua tulisannya tidak mengubah apa-apa, yang tinggal hanyalah ego yang makin rapuh diselimuti dengan kekecewaan.

Akhirnya, nama Musli Oli mungkin hanya hidup dalam dunia ciptaannya sendiri, dunia di mana dirinya sentiasa benar, dan realiti sentiasa salah.

Maka di bawah bab bertajuk “Politik Fantasi di Zaman Realiti”, akan tertulis satu ayat pendek yang cukup untuk mengkhatamkan kisahnya:

“Di sinilah berakhirnya seorang penulis yang menyangka gema sendiri adalah sorakan rakyat.”

*Dr Jurin Gunsalam merupakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bandau. Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Penerangan Gagasan Rakyat