Home » ADUN mahu sertai Gagasan Rakyat bantu fokus perpaduan: Hajiji
Uncategorized

ADUN mahu sertai Gagasan Rakyat bantu fokus perpaduan: Hajiji

Hajiji ditemui selepas Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sentiasa mengalu-alukan mana-mana wakil rakyat di negeri ini untuk menyertai parti berkenaan.


Beliau menyifatkan tindakan sedemikian akan membantu kerajaan negeri untuk fokus kepada perpaduan yang jitu.


Pada masa sama katanya, ia juga menjadi satu usaha untuk memajukan dan memberi khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini permohonan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dan Parti Warisan (WARISAN) yang menyatakan pendirian untuk menyertai Gagasan Rakyat sebelum ini.


“Memang ada diterima (permohonan), itu hak mereka untuk menentukan pendirian dan masa depan politik mereka.


“Jadi bagi saya, kita mengalu-alukan penyertaan mereka kerana kita mahu memberi fokus kepada satu perpaduan yang jitu,” katanya kepada media di sini hari ini.


Dalam pada itu, Hajiji enggan memberi sebarang ulasan mengenai keputusan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony yang menyatakan menyokong semula kepimpinan beliau.


Terdahulu, Hajiji ditemui selepas Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah.

— Siti Aisyah Narudin