KOTA KINABALU: Persatuan-persatuan belia di negeri ini disaran supaya sentiasa mengambil tindakan bagi memastikan kesedaran kepada golongan muda untuk menjauhi dari terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, semua persatuan belia seterusnya rakyat dari pelbagai latar belakang perlu sama-sama bertindak dan membantu dalam membanteras aktiviti penagihan dadah.
Katanya, pelan pembangunan belia berisiko terutama dalam isu penagihan dadah sentiasa menjadi perkara yang diberi tumpuan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, pembangunan modal insan di negeri ini tidak hanya tertumpu kepada potensi belia semata-mata dan kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum mengenai pemerkasaan program kesedaran awam mengenai salah guna dadah dalam kalangan belia.
Beliau percaya dengan pelan perancangan strategik untuk menyantuni pembangunan potensi belia berisiko, ia dapat dijayakan demi pembangunan belia Sabah secara holistik.
“Belia sebagai faktor pelindung harus menyokong kempen ‘Lebih Baik Cegah’ kerana pencegahan bermula dari rumah.
“Kerajaan negeri bertekad untuk membawa negeri ini terus maju dan makmur serta perjuangan terhadap hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus diperjuangkan, terutamanya hak dan kepentingan yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita berpendirian semangat dan prinsip MA63 itu sentiasa hidup dan relevan hingga hari ini dan masa depan,” katanya.
Hajiji berkata, peningkatan hasil negeri bermakna lebih banyak peruntukan boleh disalurkan untuk kesejahteraan rakyat, dan beliau optimis, angka ini akan terus bertambah pada tahun akan datang sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Sabah.
“Kita akan memastikan segala perancangan dilaksanakan, di samping mengenal pasti strategi serta meneroka peluang dan potensi baharu, termasuk usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah di bawah inisiatif mesra pelabur SMJ,” katanya.
Beliau turut mengajak para belia agar terus memberi sokongan serta dukungan kepada kepimpinannya dan rakan-rakan lain dalam membawa negeri Sabah lebih maju dan makmur.
Katanya, sokongan rakyat khususnya anak muda kepada kerajaan amat penting bagi memastikan kestabilan negeri terjamin.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment