Home » Kerajaan Negeri komited bawa Sabah ke tahap lebih maju
Uncategorized

Kerajaan Negeri komited bawa Sabah ke tahap lebih maju

JUHAR menyampaikan hadiah kepada Hamdi sambil diperhatikan oleh Hajiji (belakang, tengah)

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri komited untuk membawa negeri Sabah ke tahap yang lebih baik dan maju sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan. 


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata komitmen itu diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkasaan pendidikan dan latihan, pengupayaan sektor ekonomi dan pengukuhan hubungan serta persefahaman antara masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini. 


“Kita sesungguhnya amat bersyukur kerana Sabah diberikan sumber rezeki yang melimpah ruah. Selain rezeki berupa tanaman dan ternakan, tanah bertuah ini juga dilimpahi dengan nikmat alam sekitar yang cantik selain sumber alam lainnya seperti minyak dan gas.  


“Dengan segala nikmat ini, kita perlu menguruskan segala sumber kekayaan itu dengan penuh amanah. Justeru, semua pihak mesti berjiwa besar untuk menerapkan kebijaksanaan serta kemahiran bagi mengoptimumkan keupayaan dalam meneroka dan memanfaatkan potensi sumber kekayaan itu.


“Segala  hasil pertanian, ternakan, hutan, petroleum, gas dan sebagainya itu tidak akan memberi sebarang keuntungan dan manfaat jika manusia  tidak tahu dan mahu mengambil inisiatif mengubah diri sendiri untuk menghargai serta mensyukuri nikmat secara positif, kreatif dan inovatif,” katanya katanya sempena majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma Muis di sini, Khamis lepas. 

JUHAR menyampaikan hadiah kepada Nabilah

Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyempurnakan Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan AlQuran Peringkat Negeri Sabah. 


Turut hadir ialah isteri Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag. 


Hajiji menambah selain daripada memulihara sumber huluan yang ada rakyat harus bijak dan kreatif mempelbagaikan industri hiliran sebagai upaya memberi nilai tambah kepada hasil ada.  


“Keupayaan ini tentunya hanya mampu dilakukan menerusi penguasaan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang relevan seperti bidang sains dan teknologi, kejuteraan dan matematik. 


“Dalam konteks negeri Sabah, kita bersyukur kerana disebalik pelbagai cabaran yang dihadapi sama ada di peringkat global mahu pun di peringkat domestik, usaha untuk membangunkan negeri dalam pelbagai sektor menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kini berada di landasan yang betul. 


Dalam konteks ini, beliau yakin dengan penghayatan terhadap al-Quran, umat Islam akan menjadi umat yang dinamik, progresif dan cemerlang.  


“Sesungguhnya kitab suci al-Quran mengandungi begitu banyak  pengajaran dan panduan yang sepatutnya kita manfaatkan untuk menjadi sebuah bangsa dan umat yang berjaya dalam semua aspek kehidupan. 


“Islam amat menggalakkan umatnya mengamalkan semangat berlumba-lumba dan bersaing dalam semua bidang untuk mencapai kemajuan dan kejayaan. Ia adalah resepi membangunkan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi teknikal tetapi turut digabungkan dengan nilai-nilai keusahawanan,” katanya. 


Dua guru sekolah masing-masing memenangi kategori qari dan qariah pada majlis itu.
Johan bagi kategori qari ialah Hamdi Yusof, 27, guru Sekolah Agama Papar sementara pemenang kategori qariah ialah Nabilah Syafawati Safari, 27, guru Sekolah Kebangsaan Tetagas Nabawan.


Kedua-dua pemenang menerima wang tunai sebanyak RM10,000, piala iringan, sijil penghargaan, pakej menunaikan umrah sumbangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, seutas jam tangan sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, sepersalinan pakaian sumbangan Jakim, serta cenderahati sumbangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jhaeins).


Seorang lagi pemenang Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan menjadi johan bagi kategori hafazan tahap dua juzuk satu hingga 20 iaitu Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 21, manakala kategori qariah dimenangi Nur Alia Rafidah Supu, 20.


Masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM7,000, piala Iringan, sijil penghargaan, seutas jam tangan sumbangan SESB, sepersalinan pakaian sumbangan Jakim serta cenderahati sumbangan Jhaeins

— EDITOR