Kota Kinabalu: Sabah mungkin memiliki pusat jantung pertamanya tidak lama lagi, selain sekolah khusus autisme pertama di negara ini, menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Datuk James Ratib.
Beliau berkata cadangan itu secara prinsipalnya telah dipersetujui di peringkat kabinet, dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ingin idea itu dipercepatkan.
“Ia penting untuk Sabah memiliki pusat jantungnya sendiri. Hanya terdapat 50 katil untuk pesakit jantung di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 namun mereka di sana menguruskan lebih 100 pesakit pada satu-satu masa.
“Disebabkan lebihan ini, pesakit dipindahkan ke tingkat lain. Ini memberi tekanan kepada pekerja kesihatan kita. Semenanjung ada banyak (pusat jantung) malah Sarawak pun ada satu. Kenapa Sabah tiada?
“Kami mengharapkan peluang itu di bawah Kerajaan Perpaduan ini melalui Kementerian Kesihatan. Kami akan bertemu menteri pada Selasa untuk perbincangan lanjut,” katanya.
James berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Jerayawara Bengkel Keibubapaan: Pengendalian Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Peringkat Negeri Sabah, anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah di sebuah hotel di Tanjung Aru, di sini, pada Sabtu.
Hentian seterusnya adalah di Sandakan pada Sabtu depan, diikuti Tawau dan Keningau.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan ibu bapa, guru dan penjaga dalam mengawal emosi serta tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas. Ini termasuk autisme, ADHD, disleksia, dan Sindrom Down.
James berkata, menjaga kanak-kanak ini bukan perkara mudah kerana selain tingkah laku luar kebiasaan, terdapat stigma yang dikaitkan dengan rasa malu untuk mendapatkan bantuan profesional.
Sehubungan itu, James berkata tidak lama lagi beliau akan mengetuai delegasi ke sekolah khusus autisme di Singapura untuk mengkaji operasi dan membuat anggaran kos bagi sekolah yang dicadangkan di Sabah.
“Lebih ramai kanak-kanak dan orang dewasa didiagnosis menghidap autisme. Saya mempunyai tiga orang antara ahli keluarga besar saya yang mempunyai autisme. Ia berlaku tanpa mengira kehidupan bandar atau luar bandar.
“Mari kita menghadapinya. Kebanyakan rakyat Sabah bukan golongan berpendapatan tinggi. Menghantar anak ke sekolah berkeperluan khas akan menelan kos sekitar RM3,000 hingga RM5,000. Walaupun untuk golongan berpendapatan besar, ini sudah cukup mahal. Sebab itu kita perlu menjalankan kajian ini untuk memberi rakyat perkhidmatan mampu ditanggung, selain anggaran kos operasi yang akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya.
James berkata Sabah tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pakar bagi tujuan pendidikan atau sokongan, tetapi hanya kekurangan kemudahan.
“Saya baru-baru ini bertemu dengan seorang warga Malaysia yang bekerja di Amerika Syarikat sebagai guru untuk kanak-kanak autisme. Dia memberitahu saya, tiada sekolah berfokuskan autisme di Malaysia, dan jika ada, dia tentu akan kembali dengan senang hati,” katanya.
Kajian sama mendapati 424,000 kanak-kanak Malaysia mempunyai isu kesihatan mental. Ia juga mendapati, seorang daripada setiap 20 kanak-kanak berumur antara lima dan sembilan tahun didapati mengalami gangguan perkembangan.
— Jonathan Nicholas
Add Comment