Home » Tindakan tegas dikenakan kepada pemimpin masyarakat: Masiung
Berita Gagasan Rakyat Politik

Tindakan tegas dikenakan kepada pemimpin masyarakat: Masiung

Masiung berkata, langkah drastik kepada pemimpin dan anggota perkhidmatan awam adalah wajar bagi meningkatkan tadbir urus di semua peringkat.

TONGOD: Pemimpin masyarakat di Tongod yang terbukti tidak telus dalam menjalankan amanah akan berdepan tindakan penggantungan tugas termasuk pemecatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah barkata, beliau tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh, ada pemimpin terbabit menyalahgunakan kedudukan untuk tujuan peribadi.

“Demikian juga pegawai dan kakitangan kerajaan yang kurang memberi kerjasama kepada orang awam ketika berurusan, harus diambil tindakan tatatertib.

“Walaupun belum ada laporan pegawai kerajaan selalu tidak hadir ke pejabat tanpa cuti, namun peringatan ini harus dimanfaatkan,” katanya ketika merasmikan Majlis Amanat ADUN di Dewan Majlis Daerah Tongod, kelmarin.

Masiung berkata, langkah drastik kepada pemimpin dan anggota perkhidmatan awam adalah wajar bagi meningkatkan tadbir urus di semua peringkat.

Menurutnya, tahun 2024 harus dijadikan platform semua penjawat awam termasuk Ahli Majlis Daerah di Tongod untuk mencapai Petunjuk Pristasi Utama (KPI).

Beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak terlibat sebarang ketirisan.

“Kita tidak akan berkompromi kepada mana-mana pimpinan masyarakat atau pegawai kerajaan yang terbukti melakukan ketirisan,” katanya.

Turut diadakan pada majlis itu ialah perpisahan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tongod, Cleophas John Gordon yang akan memulakan tugas baharu di Jabatan Ketua Menteri.

Tempat Cleophas digantikan oleh Ronley Saringan yang telah melapor diri awal Januari lalu.

Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Oluk antara 250 orang pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat yang turut hadir di majlis itu.

— Yap Siong Han