Home » RM90 juta: Sabah terus perkasa pendidikan, sokong institusi keagamaan tanpa mengira kaum
Berita GRS • Politik

RM90 juta: Sabah terus perkasa pendidikan, sokong institusi keagamaan tanpa mengira kaum

KOMITMEN: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri, merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian wakil penerima bantuan kewangan pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2026 di Kota Kinabalu, Selasa.

KOTA KINABALU:Kerajaan Sabah komited memastikan tiada sekolah yang tercicir daripada menikmati kemudahan pendidikan yang lebih baik, dan tiada rumah ibadat yang terpinggir daripada menerima sokongan pembangunan kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata komitmen itu berteraskan prinsip keadilan sosial serta pendekatan pembangunan inklusif — bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil dan saksama kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sektor pendidikan, menyokong institusi masyarakat serta memelihara keharmonian, demi memastikan pembangunan Sabah memberikan manfaat kepada semua lapisan rakyat.

“Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2026 pada hari ini bukan sebuah majlis bermusim.

“Ini adalah tanggungjawab hakiki dan manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri hari ini.

“Kita mahu memastikan tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu, dan tiada rumah ibadat yang terpinggir daripada menerima sokongan pembangunan daripada kerajaan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2026, di sini, Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan bantuan berkenaan sebanyak RM20 juta — daripada RM70 juta pada 2025 kepada RM90 juta tahun ini, iaitu peningkatan kira-kira 28.6 peratus.

Menurutnya, peningkatan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan memberikan perhatian lebih besar terhadap keperluan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.

Beliau berkata peruntukan berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan akses kepada kemudahan pendidikan yang lebih baik, malah membantu penyelenggaraan bangunan, pelaksanaan aktiviti pembelajaran serta pengoperasian badan keagamaan — demi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat.

Hajiji berkata bagi tahun ini, Kementerian Kewangan Sabah menerima sebanyak 339 permohonan bantuan daripada lima kategori sekolah yang layak memohon, dengan jumlah keseluruhan permohonan bernilai RM107.27 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM40 juta diluluskan untuk disalurkan kepada 320 sekolah yang memenuhi syarat permohonan.

“Sebanyak 1,810 permohonan bantuan daripada tokong, kuil dan pelbagai denominasi gereja di Sabah diterima tahun ini, dengan jumlah peruntukan dipohon mencecah RM235.30 juta. Daripada jumlah berkenaan, RM50 juta disalurkan kepada 1,761 buah badan keagamaan bukan Islam.

“Kerajaan memahami keperluan di peringkat akar umbi jauh lebih besar daripada peruntukan yang ada, namun bantuan disediakan berdasarkan keutamaan, keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan supaya dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Apabila kemampuan kewangan kerajaan mengizinkan, kita akan terus berusaha meningkatkan sokongan dan bantuan kepada rakyat serta institusi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat,” katanya.

Mengulas kepentingan pendidikan, Hajiji berkata masa depan Sabah bergantung kepada kualiti generasi muda, manakala kejayaan pelbagai agenda pembangunan negeri memerlukan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri, bagi memastikan anak-anak Sabah memperoleh peluang yang lebih luas untuk menimba ilmu, mengembangkan potensi diri dan mencapai cita-cita.

“Kita tidak mahu anak-anak kita dan generasi sekarang hanya menjadi penonton kepada pembangunan negeri. Kita mahu mereka menjadi generasi yang akan memimpin dan menentukan masa depan Sabah.

“Pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) membuka peluang lebih luas kepada pemegang sijil berkenaan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Sabah, selain memberi peluang kepada mereka memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya, pengiktirafan itu mencerminkan keterbukaan dan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian aliran pendidikan di negeri ini — dengan matlamat melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan keharmonian yang menjadi antara kekuatan utama masyarakat Sabah.

Menurutnya, kepelbagaian kaum, agama dan tradisi bukanlah titik perpecahan — sebaliknya merupakan aset penting yang memperkukuh perpaduan serta membentuk identiti masyarakat Sabah.

Beliau berkata semangat saling menghormati, toleransi dan permuafakatan perlu terus dipelihara bagi memastikan Sabah kekal sebagai sebuah negeri yang maju, stabil dan harmoni, selain menyediakan ruang serta peluang kepada semua.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga akan terus memastikan setiap lapisan masyarakat — tanpa mengira latar belakang kaum dan agama — mendapat pembelaan yang adil dan saksama, di samping memberikan sokongan kepada institusi masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan yang memerlukan bantuan.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat, menjaga keharmonian dan memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada semua,” katanya.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment