KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersedia mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan kediaman yang dibina tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya — bagi mengambil kira kebajikan penduduk terjejas, khususnya pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan Negeri memahami kesulitan yang dihadapi penduduk, namun sebarang tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan berlandaskan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Ini boleh kita pertimbangkan, tetapi untuk makluman, kampung itu kita anggap kampung setinggan. Bukan baru kerajaan mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak mendirikan rumah di sana.
“Sudah padat, terlampau banyak rumah di kawasan itu. Ini kawasan peranginan, dekat pulau, jadi rakyat kita mesti tahu. Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin. Kita prihatin kepada rakyat kita, tetapi kita kena ikut proses undang-undang dan peraturan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, di sini, malam tadi.
Hajiji menjelaskan Kampung Pondo merupakan penempatan tanpa kebenaran yang semakin padat, selain terletak di kawasan pulau yang diperuntukkan bagi tujuan peranginan dan tidak dibenarkan untuk pembinaan kediaman.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sejak sekian lama sudah menetapkan supaya penempatan seumpama itu dipindahkan atau dirobohkan, selaras dengan perancangan dan peraturan pembangunan kawasan berkenaan.
Beliau berkata penduduk perlu memahami bahawa tempoh menduduki sesuatu kawasan — walaupun sudah berpuluh-puluh tahun — tidak mengubah status tanah atau peraturan yang melarang pembinaan kediaman di lokasi terbabit.
“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. 40 tahun, bertahun-tahun di sana, jadi jangan dijadikan itu isu seolah-olah kerajaan tidak prihatin.
“Kerajaan prihatin. Kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita mesti tahu bahawa kawasan itu dilarang untuk mendirikan rumah. Ia kawasan setinggan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah mengetepikan kebajikan rakyat, termasuk mereka yang terkesan akibat tindakan penguatkuasaan.
Menurutnya, usaha mencari penyelesaian bagi mengurangkan kesan terhadap kehidupan penduduk tetap menjadi pertimbangan kerajaan — meskipun tindakan penguatkuasaan perlu diteruskan mengikut ketetapan undang-undang.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu perobohan itu sebagai gambaran bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap nasib penduduk.
Tegasnya, keprihatinan terhadap kebajikan rakyat dan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang perlu dilaksanakan secara seimbang, bagi memastikan kepentingan masyarakat serta perancangan pembangunan negeri terus terpelihara.

























Add Comment