Home » Hajiji mahu kerjasama GRS, PH dan BN diteruskan demi kestabilan Sabah
Berita GRS • Politik

Hajiji mahu kerjasama GRS, PH dan BN diteruskan demi kestabilan Sabah

JASA DIKENANG: Hajiji menyampaikan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti kakitangan UPPM Sabah yang bakal menamatkan perkhidmatan, malam Ahad.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mahu kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diteruskan bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan Sabah.

Beliau berkata kestabilan politik merupakan asas penting kepada keberkesanan pentadbiran kerajaan, khususnya dalam merancang dan melaksanakan dasar pembangunan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, GRS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan sebuah kerajaan kukuh, stabil dan sentiasa mengutamakan kepentingan negeri.

“Kita mahu stabil. Kalau kita mahu stabil, kita kena bekerjasama dengan apa yang ada dalam kerajaan sekarang.

“Kerjasama kita dengan PH dan BN ini akan kita teruskan dalam Pilihan Raya Umum dan juga Pilihan Raya Negeri yang akan datang,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, di sini, malam Ahad.

Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata perjuangan politik perlu berteraskan kejujuran, keikhlasan dan komitmen terhadap kepentingan rakyat — bukannya sekadar retorik atau kenyataan tanpa tindakan.

Menurutnya, pengalaman dan perkembangan politik sebelum ini perlu dijadikan iktibar bagi memastikan semua pihak dalam kerajaan terus memberikan komitmen terhadap kerjasama yang telah dibentuk.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Hajiji menjelaskan perbincangan rasmi mengenai bentuk kerjasama antara GRS, PH dan BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang belum dimulakan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama politik dalam kerajaan negeri ketika ini akan diteruskan, manakala sebarang keputusan mengenai kerjasama pilihan raya akan dibincangkan bagi mencapai persetujuan bersama.

“Jajaran politik dalam kerajaan sekarang ini, itulah kita teruskan. Nanti kita akan bawa berbincang untuk mencari persetujuan bersama. Tapi bagi saya, kerajaan yang kita pimpin ini ialah kerajaan yang diketuai oleh GRS,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hajiji mengingatkan pemimpin masyarakat supaya memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata penjelasan berasaskan fakta penting bagi menangani dakwaan serta tuduhan tidak berasas — khususnya yang disebarkan menerusi media sosial.

Menyentuh pencapaian pentadbiran negeri, Hajiji berkata hasil Sabah berjaya ditingkatkan daripada sekitar RM4 bilion ketika kerajaan mengambil alih pentadbiran kepada hampir RM8 bilion.

Menurutnya, rizab kewangan negeri turut meningkat daripada kira-kira RM2.8 bilion kepada lebih RM7 bilion, hasil pengurusan kewangan yang berhemah.

Peningkatan kedudukan kewangan itu membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat — termasuk pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya kampung, jambatan, serta usaha meningkatkan kapasiti bekalan air.

Dalam perkembangan berkaitan industri minyak dan gas, Hajiji berkata PETRONAS menemukan dua telaga minyak di kawasan Sandakan yang berpotensi memulakan operasi pada 2029, dengan Sabah dijangka memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 15 peratus.

Beliau berkata aktiviti penerokaan di Pulau Sebatik turut berpotensi memberikan sekurang-kurangnya 25 peratus kepentingan kepada Sabah sekiranya berjaya — selain pulangan menerusi pegangan ekuiti, cukai jualan negeri dan royalti.

Menurutnya, Sabah juga dijangka memperoleh 40 peratus kepentingan ekuiti menerusi projek gas asli cecair terapung (FLNG) di perairan Pantai Barat negeri ini.

Selain itu, kira-kira 449 kontrak diberikan PETRONAS kepada syarikat tempatan Sabah, berbanding kurang daripada 10 syarikat sebelum ini.

Hajiji berkata perkembangan itu mencerminkan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dengan PETRONAS dalam memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas.

Hajiji menegaskan kekuatan sesebuah kerajaan bukan hanya bergantung kepada dasar yang digubal, tetapi juga keupayaan jentera pentadbiran dan agensi kerajaan melaksanakannya dengan cekap serta berkesan.

“Kerajaan yang kuat bukan hanya terletak kepada dasar-dasarnya, tetapi terletak kepada pelaksanaan yang akan dilakukan oleh tuan-tuan dan puan-puan serta jabatan-jabatan kerajaan.

“Kalau dasar yang telah kita buat ini tidak dapat dilaksanakan sebaik mungkin, ia juga boleh mendatangkan kegagalan kepada kita,” katanya.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment