KOTA KINABALU:Transformasi digital Sabah perlu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan rakyat dan pengukuhan daya saing negeri — bukan sekadar tertumpu kepada penerapan teknologi baharu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata usaha pendigitalan perlu bergerak seiring agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), bagi memastikan kemajuan teknologi diterjemahkan kepada manfaat yang nyata dan menyeluruh kepada rakyat.
“Pendigitalan tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan daripada pembangunan. Sebaliknya, ia perlu membantu kita melaksanakan pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya dalam teks ucapan sempena perasmian Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata kemajuan teknologi perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas, penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap serta peningkatan taraf hidup rakyat.
Menurutnya, kekayaan sumber asli Sabah — termasuk hutan, sumber marin, tanah pertanian dan biodiversiti — kekal sebagai asas penting kepada ekonomi negeri, manakala transformasi digital berupaya meningkatkan nilai serta memperkukuh pengurusan sumber berkenaan.
“Aspirasi digital kita bukan untuk menggantikan kekuatan ini, tetapi untuk meningkatkan nilainya, menambah baik pengurusannya serta melindunginya demi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata kedudukan strategik Sabah yang berhampiran pasaran negara jiran dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) membuka peluang kepada negeri ini untuk menjadi penghubung perdagangan, perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan di rantau ini.
Bagaimanapun, kelebihan geografi itu perlu disokong infrastruktur yang boleh dipercayai, institusi berkeupayaan, tenaga kerja berkemahiran serta persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan pelaburan bertanggungjawab.
Mengulas hala tuju transformasi digital Sabah, Hajiji berkata antara bidang keutamaan ialah pengukuhan kesalinghubungan dan infrastruktur digital, penerapan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, kerajaan digital, keselamatan siber, keusahawanan serta pembangunan bakat.
Menurutnya, aspek keterangkuman digital di luar bandar, kelestarian alam sekitar dan perdagangan digital rentas sempadan turut diberikan perhatian.
Beliau berkata penggunaan AI perlu berlandaskan matlamat yang jelas dan dilaksanakan secara bertanggungjawab — bagi memastikan teknologi berkenaan mampu menangani cabaran sebenar pembangunan, bukan sekadar memenuhi trend semasa.
“Nilai AI bukan sekadar terletak pada penggunaan teknologi baharu, tetapi keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar.
“Ia sama ada melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, perancangan yang lebih berasaskan maklumat atau kesiapsiagaan menghadapi bencana yang lebih kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berharap sidang kemuncak berkenaan menjadi platform kerjasama yang berorientasikan tindakan — dengan mengenal pasti cabaran pembangunan, rakan strategik serta projek yang boleh dilaksanakan, dinilai keberkesanannya dan diperluas sekiranya berjaya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan kejayaan transformasi digital Sabah tidak seharusnya diukur berdasarkan tahap kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Menurutnya, kemajuan digital yang hanya memanfaatkan masyarakat dengan akses kesalinghubungan yang baik berisiko melebarkan jurang ketidaksamaan sedia ada — khususnya antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Keterangkuman digital yang bermakna memerlukan lebih daripada sekadar liputan rangkaian.
“Ia memerlukan bekalan elektrik stabil, perkhidmatan mampu milik, peranti bersesuaian, kemahiran praktikal serta keyakinan untuk menggunakan teknologi dengan selamat,” katanya.
Hajiji turut menekankan kepentingan melengkapkan generasi muda Sabah dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pencipta, tenaga profesional serta usahawan digital — bukan sekadar pengguna teknologi.
Beliau berkata usaha itu memerlukan kerjasama lebih erat antara sekolah, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), universiti serta pihak industri, bagi memastikan pembelajaran dan pembangunan kemahiran selari dengan keperluan pasaran pekerjaan.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan terus mempertingkat usaha memudah cara pelaburan, memperkukuh penglibatan industri serta menangani halangan pelaksanaan — bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap potensi Sabah.
Menurutnya, Sabah mengalu-alukan kerjasama strategik yang bukan sahaja membawa masuk modal dan teknologi baharu, malah menyumbang kepada pembangunan bakat anak negeri, pengukuhan perusahaan tempatan serta pemindahan pengetahuan. Beliau berkata pendekatan itu penting bagi membina keupayaan jangka panjang Sabah dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi digital — di samping memastikan kemajuan teknologi menyokong agenda pembangunan negeri secara inklusif, mampan dan berdaya saing.

























Add Comment