Home » ADUN Sindumin perkenal pendekatan ‘Klinik Rakyat’ untuk mendengar ‘denyutan nadi’ masyarakat
Politik

ADUN Sindumin perkenal pendekatan ‘Klinik Rakyat’ untuk mendengar ‘denyutan nadi’ masyarakat

Pendekatan yang diperkenalkan wakil rakyat Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob itu bertujuan membolehkan rakyat di kawasannya bertemu dengan beliau secara bersemuka bagi mengajukan sebarang permasalahan ataupun keperluan untuk pertimbangannya.

SIPITANG: Pejabat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin memperkenalkan ‘Klinik Rakyat’ bagi memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu dengan wakil rakyat mereka bagi mengutarakan sebarang keperluan atau isu terus kepada ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Klinik Rakyat itu dibuka setiap minggu dan masyarakat disaran membuat temujanji terlebih dahulu sebelum hari pertemuan bagi membolehkan wakil rakyat meluangkan masa bagi bertemu dengan rakyat apabila terdapat kelapangan.


Masyarakat disaran membuat temujanji terlebih dahulu, dan Pejabat Khidmat ADUN Sindumin akan mendapatkan nama serta nombor telefon dan kemudian menghubungi mereka untuk pengesahan kehadiran pada tarikh temujanji yang akan ditetapkan.

Pejabat Khidmat ADUN Sindumin dapat bertemu dengan 15 hingga 20 orang pada satu masa dalam sehari dengan anggaran masa 15 minit bagi setiap pertemuan.

Pendekatan yang diperkenalkan wakil rakyat, Yusof itu bertujuan membolehkan rakyat di kawasannya bertemu dengan beliau secara bersemuka bagi mengajukan sebarang permasalahan ataupun keperluan untuk pertimbangannya.

Yusof memberitahu, pendekatan itu membolehkan beliau memahami secara mendalam isi hati dan denyut nadi rakyat secara langsung tanpa melalui orang tengah untuk menyampaikan masalah atau isu yang dilalui masing-masing.


Tambah Yusof, Klinik Rakyat itu antara lain adalah sebagai usaha untuk memberi perhatian yang lebih kepada rakyat di peringkat akar umbi selain memberi gambaran yang baik terhadap kerajaan Sabah yang diterajui Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).


“Sasaran kita adalah untuk memberi khidmat yang berkualiti kepada rakyat dan bukannya sibuk dengan politik. Sibuk macam mana pun kita mesti beri keutamaan kepada rakyat.


“Ini peringatan saya kepada bahagian Sindumin. Kita mesti ambil perhatian terhadap rakyat, utamakan kebajikan mereka yang memerlukan. Bagaimana kita boleh bantu mereka, melalui cara inilah kita lakukan. Berilah sepenuhnya tumpuan kepada mereka, ” katanya.

— TAMAT