SANDAKAN: Beberapa perkampungan di daerah ini berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan Inap Desa.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Karamunting Datuk Chew Kok Woh berkata, perkampungan atas air khususnya, penduduk dalam kawasan berkenaan mampu menawarkan pakej percutian menarik kepada pelancong dalam atau antarabangsa.
“Baru-baru ini saya berpeluang melawat ke perkampungan Tanjung Aru. Untuk sampai ke kampung ini, anda perlu menaik bot dari Jeti Pasar Umum Sandakan dan memakan masa kira-kira 20 minit untuk tiba di destinasi.
“Penduduk kampung ini sangat mesra yang mana didiami oleh masyarakat dari etnik Brunei dan Jawa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berharap, program turun padang yang diadakan itu mampu membawakan hasil positif khususnya pendekatan dilaksanakan penduduk di kampung berkenaan untuk menghidupkan pakej Inap Desa.
Katanya, pengetahuan yang diperolehi itu akan digunakan untuk membangunkan Kg. Bokara, Kg. Air dan Kg. Pukat yang mempunyai ciri-ciri sama dengan Kg. Tanjung Aru.
“Saya berharap dapat membangunkan satu perkampungan yang mampu menjana pendapatan serta pekerjaan kepada penduduk di kampung berkenaan.
“Pada masa yang sama dapat mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti produk makanan, budaya, rumah, kraf dan banyak lagi,” katanya.
Untuk rekod, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah mengenal pasti Kg. Bokara, Kg. Tanjung Aru, Kg Bambangan dan Tanjung Pisau untuk dibangunkan sebagai destinasi Inap Desa.
Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pegawai Pembangunan Masyarakat Karamunting Chau Wai Chun.
Add Comment