KOTA MARUDU:Lagu-lagu patriotik perlu terus diberi sokongan dan penghayatan oleh orang ramai khususnya generasi muda bagi membangkitkan semangat cintakan kepada tanah air.
Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, perasaan cintakan tanah air perlu dipupuk sepanjang masa melalui pelbagai cara dan kaedah supaya semangat jati diri dalam kalangan rakyat tidak hilang.
“Melalui lagu-lagu patriotik pula kita dapat menghayati nilai-nilai murni seperti perpaduan, keharmonian dan semangat kebangsaan yang menjadi teras pembangunan negara kita.
“Lagu-lagu patriotik ini bukan hanya sekadar gubahan melodi dan lirik, tetapi juga merupakan cerminan sejarah, budaya, dan aspirasi negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik Warga Pendidikan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu di Pentas Padang Kota Marudu semalam.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Datu Roslin Datu Siabok.
Redonah berkata, pertandingan nyanyian seperti itu juga bukan sekadar acara hiburan, tetapi merupakan satu platform penting dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga pendidik dan rakyat.
“Setiap bait dan rentak lagu ini membawa kita menjelajah ke zaman perjuangan kemerdekaan, mengimbau pengorbanan para pejuang terdahulu.
“Bahkan lagu ini menyuluh semangat perpaduan yang telah membentuk Malaysia seperti yang kita nikmati hari ini,” ujar beliau.
Tambah beliau, dengan menghayati lagu-lagu ini, rakyat bukan sahaja memperingati masa lalu, tetapi juga menyemai harapan untuk masa depan negara yang lebih gemilang.
“Maka, marilah kita jadikan pertandingan ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu manifestasi komitmen kita sebagai pendidik untuk terus menyemarakkan api patriotisme dalam diri kita dan generasi akan datang.
“Saya berharap pertandingan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kita untuk memartabatkan lagu-lagu patriotik dan seterusnya menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau turut meminta supaya semua pihak berusaha menghayati maksud di sebalik setiap lagu yang dinyanyikan dan tidak sekadar menonjolkan bakat nyanyian.
— TAMAT
Add Comment