Home » Hajiji mahu lebih ramai anak muda terajui persatuan masyarakat
Berita GRS • Politik

Hajiji mahu lebih ramai anak muda terajui persatuan masyarakat

ULANG TAHUN KE-32: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai (kiri), bersama Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Dr. TC Goh, memotong kek sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-32 FCAS di Port View Palace Hall, Kota Kinabalu, Jumaat.

KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mahu lebih ramai generasi muda tampil menyertai kepimpinan persatuan dan kegiatan kemasyarakatan, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan masyarakat di Sabah.

Beliau berkata sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan, golongan muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyumbang idea, tenaga serta kepakaran dalam meneruskan legasi yang dibina generasi terdahulu.

Pada masa sama, beliau menggalakkan sektor korporat dan komuniti perniagaan memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan masyarakat dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat.

“Budaya tanggungjawab sosial dan semangat saling membantu amat penting dalam membina masyarakat yang maju, prihatin dan bersatu padu,” katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-32 Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan Kutipan Dana Bangunan di Port View Palace Hall, di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan pertubuhan masyarakat seperti FCAS, yang menjadi penghubung penting antara masyarakat Cina dengan Kerajaan Negeri sejak penubuhannya pada 1994.

Menurutnya, FCAS diharap terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh ekonomi, menambah baik infrastruktur, membangunkan modal insan serta memperluas peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.

“Namun, kejayaan agenda ini memerlukan kerjasama erat semua pihak — termasuk sektor swasta, pertubuhan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf sumbangan besar masyarakat Cina terhadap pembangunan Sabah, khususnya dalam sektor perdagangan, perniagaan, perindustrian, pendidikan dan pelancongan.

Sehubungan itu, Hajiji mahu peranan FCAS sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat Cina terus diperkukuh — bagi memupuk persefahaman, membina kepercayaan serta memastikan pandangan dan aspirasi masyarakat dapat diketengahkan secara konstruktif.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memastikan semua lapisan masyarakat mendapat peluang yang saksama untuk menikmati manfaat pembangunan serta menyumbang kepada kemajuan negeri, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Dalam pada itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada Presiden FCAS, Tan Sri Dr. TC Goh, bersama barisan kepimpinannya sempena sambutan ulang tahun ke-32 pertubuhan berkenaan.

Beliau berkata sambutan tahun ini lebih bermakna dengan perasmian Wisma FCAS di Kampung Air, Kota Kinabalu, pada sebelah pagi — sekali gus menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam sejarah pertubuhan itu.

“Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu menjayakan pembangunan Wisma FCAS.

“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha memperkukuh perpaduan, memelihara khazanah budaya dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji berkata kejayaan merealisasikan Wisma FCAS merupakan hasil semangat kebersamaan dan kerjasama pelbagai pihak — termasuk persatuan gabungan, sektor korporat, dermawan serta masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Beliau yakin FCAS akan terus kekal relevan dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, memelihara warisan budaya serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan Sabah.