Home » JMUU bantu rancakkan kelas pengajian agama di Sabah
Berita Gagasan Rakyat Politik

JMUU bantu rancakkan kelas pengajian agama di Sabah

Datuk Mohd Arifin Mohd Arif Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam mewakili Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah telah merasmikan program Jelajah Madani Ulama’ dan Umara’ Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Sa'adah Wisma MUIS Kota Kinabalu Sabah.

KOTA KINABALU: Program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) membantu merancakkan lagi kelas-kelas pengajian agama khususnya di masjid dan surau di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.


Dalam masa sama katanya, Program JMUU ini hendaklah dijadikan medium perkenalan dan penyatuan kepada semua guru agama di negeri ini.


“Sesungguhnya, kerja-kerja dakwah dan mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang ringan dan mudah. Setiap masa, guru-guru dan pendakwah akan menerima berbagai cabaran dan mehnah yang silih berganti. Oleh itu, program sebegini diharapkan dapat memberikan motivasi dan suntikan semangat baru kepada seluruh yang hadir.


“Bagi memastikan penyampaian guru-guru agama di negeri ini memenuhi kualiti, semua guru agama juga hendaklah memperolehi tauliah mengajar yang dikeluarkan melalui Majlis Ugama Islam Sabah.


“Kaedah ini diguna pakai bagi memastikan agenda-agenda yang menyimpang dapat dikawal serta dapat menjaga keharmonian hubungan kaum dalam masyarakat di negeri ini daripada anasir-anasir yang tidak baik,” katanya sempena perasmian
Program Jelajah Madani Ulama’ dan Umara’ (JMUU) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024, di sini, pada Isnin.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Program ini juga turut dihadiri oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi meraikan para ulama’ dan umara’ Negeri Sabah.


Ketua Menteri juga meminta agar semua pihak dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat termasuk mendidik golongan muda ke arah kebaikan. “Sesungguhnya, cabaran dalam mendepani gelombang perubahan zaman yang melanda ummah pada hari ini amat besar.


“Oleh itu, kepentingan peranan ulama dan umara atau pemimpin tidak dapat dinafikan dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat, keprihatinan terhadap kepentingan semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang amat penting dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan perpaduan dapat direalisasikan.

“Adalah menjadi suatu tanggungjawab bagi setiap guru agama di negeri ini memahami, menghayati dan bersemangat waja mendidik masyarakat untuk terus celik kepada ilmu agama agar amalan seharian masyarakat berpandukan syariat Islam,” katanya.


— Tamat

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment