TAWAU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) membelanjakan sebanyak RM30.7 juta bagi keseluruhan Pantai Timur dan RM12.2 Juta bagi Ladang Apas Balung/Merotai sepanjang tahun 2020 sehingga 2023.
Pengurus Besarnya, Syaheddrul R Joddari berkata, perbelanjaan itu memberi manfaat kepada seramai 255 peneroka bagi kawasan seluas 1,244 hektar, melibatkan pakej ransangan ekonomi, naik taraf jalan ladang sedia ada, program pembekalan baja, penternakan kambing, pembinaan dan baik pulih rumah pekerja.
Sementara itu, Pengerusi LKTNS Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin berkata, pendapatan peneroka Apas Balung dalam tahun 2022 bagi tabungan ialah sebanyak RM2.8 juta dan sara hidup sebanyak RM6.8 juta. Sementara Ladang Merotai pula sebanyak RM1.54 bagi tabungan dan RM3 juta untuk sara hidup.
Menurutnya, purata pendapatan bulanan bagi tahun 2022 untuk peneroka Ladang Apas Balung seramai 199 orang adalah sebanyak RM4,035 sebulan seorang.
“Manakala, peneroka Ladang Merotai pula adalah sebanyak RM6,884 sebulan seorang bagi seramai 56 orang peneroka,” katanya pada Program Hari Muhibbah Bersama Peneroka/Peserta LKTNS 2023 Apas Balung di sini baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Hamild Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Pegawai Daerah Nabawan Peter Jiton.
Syaheddrul berkata, bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sebanyak 14 buah rumah bina baharu dan lapan buah rumah baik pulih dilaksanakan di Ladang Apas Balung dan Ladang Merotai pada tahun ini, berbanding hanya dua bina baharu dan 11 baik pulih pada tahun 2021 sehingga 2022.
Menurutnya, ekoran prestasi cemerlang LKTNS dalam melaksanakan PPRT bagi para peneroka dan pesertanya, lebih banyak peruntukkan salurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi tujuan yang sama tahun ini, dan bakal melibatkan golongan miskin tegar dalam senarai e-kasih yang bukan peneroka atau peserta LKTNS.
Katanya, LKTNS juga memperkenalkan LKTNS E-Pay, sistem pembayaran menggunakan perisian digital bagi memudahkan para peneroka, peserta dan pekerja LKTNS untuk berurusan tanpa perlu pergi ke bank-bank dan kedai-kedai yang terletak di bandar.
“Perisian ini juga membolehkan pemindahan wang secara elektronik dan pembelian barang-barang keperluan harian menggunakan talian internet,” katanya.
Menyentuh Hari Muhibbah, Syaheddrul berkata, ia merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan LKTNS dalam pembangunan ekonomi dan sosial Sabah.
“Ini dapat membantu masyarakat menyedari pentingnya pelestarian dan pemajuan sektor pertanian serta perladangan.
“Melalui pertukaran maklumat dan pengetahuan, majlis ini memberi peluang kepada peneroka tanah atau peserta LKTNS untuk belajar, berkongsi pengalaman, kecekapan terbaik dalam bidang pertanian, perladangan serta pengurusan sumber tanah.
“Majlis ini juga mencipta ruang untuk peneroka tanah, peserta LKTNS berinteraksi secara langsung, bertukar pendapat dan mengemukakan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan serta kesejahteraan mereka.
“Interaksi ini dapat memperkukuhkan hubungan mereka dan membantu meningkatkan kualiti kehidupan peneroka tanah,” katanya.
Sementara itu, LKTNS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Agro Bank dan penyerahan mock kad pelan perlindungan takaful khas kepada peneroka serta peserta LKTNS.
“Ini merupakan salah satu langkah yang diambil oleh pihak LKTNS kerana prihatin terhadap kebajikan peneroka dan peserta yang terlibat,” katanya.
— Yap Siong Han
Add Comment