TONGOD: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengingatkan parti ini berhati-hati memilih kawan dalam kerjasama politik bagi mengelak ‘pisang berbuah dua kali’.
Masiung berkata, Ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden Gagasan Rakyat supaya berwaspada memilih rakan dalam regu politik, lebih-lebih lagi semasa proses membentuk kerajaan pada musim akan datang.
“Pengalaman masa lalu telah mendewasakan kita, di mana rakan yang menjadi gandingan dalam politik dan kerajaan akhirnya menghianati perjuangan.
“Parti yang pada awalnya menjadi rakan kongsi bertukar menjadi dalang menikam kita dari belakang hanya kerana mahu mendapatkan kuasa,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pelancaran dan mesyuarat agung pertama Gagasan Rakyat, di Dataran Rakyat Tongod, di sini kelmarin.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Dalam pada itu, Masiung mahukan Ketua Menteri menyenaraikan jalan raya Tongod ke Sook sejauh 46 kilometer untuk dinaik taraf menerusi pelan baharu projek lebuh raya Pan Borneo.
Katanya, jika cadangan itu dapat direalisasikan jarak perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tongod menerusi Keningau hanya mengambil masa kira-kira tiga jam setengah.
“Ia berbanding perjalanan dari jalan lama sedia ada dari Kota Kinabalu menerusi Ranau-Telupid hingga ke Tongod yang mengambil masa enam jam,” katanya.
Terdahulu, majlis berkenaan mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 5,000 penyokong yang memakai baju merah membanjiri Dataran Rakyat Tongod.
Sebelum merasmikan pelancaran Gagasan Rakyat Kuamut, Hajiji telah melakukan upacara pecah tanah untuk bangunan baharu Mahkamah Anak Negeri daerah Tongod.
Projek bernilai RM5,101,390 itu dimulakan pembinaannya pada Jun lalu dan dijangka siap pada Disember 2023.
— Hamzah Sanudin
Add Comment