KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan melancarkan Pelan Tindakan Bakau Sabah sebagai langkah untuk mentransformasi pengurusan dan pemuliharaan hutan bakau di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelan tindakan itu penting memandangkan 60 peratus atau 378,195 hektar hutan bakau negara berada di Sabah.
“Sabah mempunyai hutan bakau terbesar di Malaysia dan pelan tindakan ini akan menjadi panduan pengurusan dan pemuliharaan bakau.
“Ia juga selaras dengan inisiatif Karbon Biru, iaitu program global yang diselaraskan untuk memberi tumpuan kepada pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem tepi laut untuk iklim, biodiversiti dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, Kabinet Negeri sudah berbincang dan mengesahkan Pelan Tindakan Bakau Sabah terbabit dalam mesyuarat mingguan dan akan dilancarkan tidak lama lagi.
Bercakap pada mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di sini pada Rabu, Hajiji berkata, hasil kabinet juga dimaklumkan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) dan sudah ditandatangani antara Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas untuk projek Pemetaan Rumpai Laut dan inisiatif komuniti.
Katanya, Projek Pemetaan Rumpai Laut dan inisiatif komuniti akan dijalankan selama lima tahun dan dijangka menyediakan peta pengedaran rumpai laut yang lengkap di Sabah untuk digunakan sebagai rujukan bagi pemuliharaan, perlindungan dan pembangunan mampan ekosistem rumpai laut.
“Pada masa sama, inisiatif komuniti anjuran kerajaan negeri melalui Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas akan melibatkan komuniti yang tinggal di kawasan ekosistem marin dan rumpai laut dalam usaha pemuliharaan dan kesedaran.
“Ia juga akan menyumbang kepada inisiatif Ekonomi Biru Kerajaan Negeri,” katanya.
— TAMAT
Add Comment