KOTA KINABALU: Penubuhan Perintis Muda (PERMUDA) di bawah seliaan Majlis Belia Sabah (MBS) membuktikan kerajaan negeri menyantuni semua golongan belia secara holistik.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin mohd Arif berkata, penglibatan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Sabah dalam PERMUDA dapat membantu kerajaan negeri menggali bakat dan potensi.
Katanya, usaha itu juga seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang mengutamakan kepentingan melahirkan belia unggul.
“Potensi belia tidak hanya dilihat melalui pencapaian akademik semata-mata. Saya percaya potensi belia yang boleh diketengahkan adalah lebih meluas melalui pelancaran PERMUDA.
“Di kesempatan ini, saya dengan sukacita ingin menyeru golongan belia meneroka peluang kemahiran dan teknologi. Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membawa impak yang tinggi dan ia bukan lagi alternatif malah menjadi pilihan arus perdana.
“Besar harapan saya agar melalui platform PERMUDA ini, MBS dapat mengetuai golongan belia IPT menyampaikan isu-isu semasa belia serta idea dan pandangan mereka kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran PERMUDA dan Menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara MBS Bersama IPT di Sabah di sini hari ini.
Pihaknya yakin pengalaman dan bimbingan ilmiah daripada IPT dapat membantu MBS merangka program berfokus sesuai dengan potensi belia di IPT mereka.
“Saya percaya melalui program yang dilaksanakan akan melahirkan belia yang kreatif dan berinovasi tinggi seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerjasama yang akan melibatkan penganjuran program, penyelidikan bersama dan pembangunan jati diri akan membantu kerajaan Negeri melahirkan belia unggul,” jelasnya.
Pada majlis itu, sebanyak 12 wakil kepimpinan IPT menandatangani Surat Hasrat bersama MBS.
Sementara itu, Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan berkata, LoI berkenaan adalah fasa pertama dan dijangka akan ada lagi fasa kedua dan ketiga melibatkan PERMUDA dengan IPT di Sabah pada masa akan datang.
“Usaha ini bertujuan membantu Sekretariat Mahasiswa Malaysia Sabah (SEMESTA) iaitu salah satu inisiatif di bawah kerajaan negeri menerusi gagasan SMJ.
“Kita mahu mencari kepimpinan belia baharu dari peringkat IPT kerana dengan adanya PERMUDA, kita dapat sama-sama turun padang dan mencari kepimpinan muda peringkat negeri,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan.
— TAMAT
Add Comment