KOTA KINABALU: Kesan limpahan pembangunan di Kalimantan, berikutan pemindahan ibu kota Indonesia, mungkin akan menjadikan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ‘lombong emas’ yang boleh diterokai bagi mengambil peluang pembangunan yang pesat di Kalimantan kelak, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Katanya, gabungan antara Sabah dan Sarawak bakal menjadi powerhouse atau kuasa besar di Malaysia yang mempunyai kelebihan daya saing.
“Tidak mustahil perkara ini akan menjadi satu realiti pada masa akan datang dan pastinya memberi manfaat kepada usahawan dan peniaga tempatan.
“Pemindahan ini bakal menjadikan kedudukan Sabah dan Sarawak yang terletak di kepulauan Borneo lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu,” katanya ketika merasmikan Program BizTalk sempena sambutan Kaamatan-Gawai Bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) ke-14 di Sutera Pacific, di sini, baru-baru ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki.
Masidi merujuk kepada pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur. Ibu kota baharu Indonesia itu dinamakan Nusantara.
Terdahulu, Masidi berkata, Kerajaan menyedari kepentingan dan sumbangan bidang keusahawanan dalam pembangunan ekonomi serta kesan dari pandemik Covid-19 terhadap usahawan dan peniaga.
Katanya, Kerajaan menerusi kementerian, jabatan dan agensi samada dari Kerajaan Persekutuan mahupun Negeri mengadakan pelbagai program dan bantuan bagi membantu usahawan dan peniaga yang terjejas.
“SEDCO dan MARA misalnya mempunyai pelbagai bantuan dan program dalam membantu komuniti peniaga bumiputera, begitu juga kemudahan-kemudahan kewangan dengan pelbagai skim yang ditawarkan oleh badan-badan kewangan dan bank.
“Selain dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian-kementerian lain juga menyediakan bantuan dalam usaha membangunkan semula usahawan dan peniaga terutamanya untuk golongan bumiputera,” ujarnya.
Masidi berkata, melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri telah berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM2 bilion yang melibatkan pembinaan kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati Kudat dan penghasilan panel solar di KKIP.
“Kita jangkakan kilang ini akan mula beroperasi pada suku akhir tahun ini dengan menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menawarkan pelbagai kontrak kepada usahawan dan peniaga bumiputera.
“Manakala nilai pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak RM8.49 bilion bagi tahun 2022 berbanding RM4.48 bilion pada tahun sebelumnya. Secara tidak langsung, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada komuniti setempat.
“Industri minyak dan gas di Sabah juga mempunyai potensi yang besar dan merupakan sektor utama dalam Hala Tuju SMJ. Atas dasar itu, Kerajaan Negeri Sabah telah menubuhkan syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd.
“Melalui penubuhan syarikat ini, kita akan mampu untuk mengawal industri minyak dan gas di Sabah serta menawarkan peluang perniagaan kepada kontrakter tempatan. Kerajaan telah menyasarkan untuk memperoleh RM1 bilion anugerah kontrak tempatan atau 20 peratus daripada jumlah kontrak minyak dan gas yang diberikan pada tahun ini dan menetapkan sasaran 30 peratus untuk tahun hadapan.
“Secara tidak langsung, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan. Kita juga mahu lebih ramai usahawan terlibat dalam industri minyak dan gas tetapi serta mempersiapkan diri dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan sekiranya mahu merebut peluang dalam sektor ini,” katanya.
“Kita bersyukur Covid-19 bukan lagi darurat kesihatan global. Bagaimanapun, Covid-19 telah memberi satu pengajaran atau iktibar yang besar dalam menguruskan perniagaan.
“Bagi pendapat saya, terdapat lima perkara penting yang telah kita pelajari. Pertama, always expect the unexpected. Pandemik Covid-19 dan konflik antarabangsa seperti Russia-Ukraine boleh berlaku pada bila-bila masa yang memberi kesan kepada harga minyak dunia. Maka kita hendaklah membuat persiapan dan perancangan yang lebih teliti.
“Kedua, build a safety net. Banyak perniagaan telah terjejas dari segi kewangan ekoran daripada Covid-19. Kebanyakan perniagaan tidak mempunyai tunai yang mencukupi dan tidak dapat mengekalkan atau meneruskan operasi perniagaan disebabkan oleh kemelesetan ekonomi yang berpanjangan. Maka kita perlu ada aliran tunai perniagaan yang mencukupi.
“Ketiga, be mobile and agile. Setiap perniagaan adalah bersifat dinamik mengikut arus perubahan global. Oleh itu, kita perlu bertindak pantas dan fleksibel dalam menangani cabaran yang dihadapi.
“Keempat, duplicate your resources. Pastikan data dan maklumat syarikat boleh diakses melalui internet walaupun berada di luar negara. Kelima, remain calm, focused and on task. Ketidakpastian bencana atau wabak tersebut akan menyebabkan peniaga panik dan kehilangan tumpuan. Sebaiknya, buat perancangan, buat penyelidikan dan kekal fokus terhadap perniagaan.”
Masidi berkata, keusahawanan dan perniagaan merupakan bidang yang menguntungkan dan mampu meningkatkan ekonomi keluarga, masyarakat mahupun negara.
Banyak ruang dan peluang dalam dunia keusahawanan, katanya, sambil menambah bidang ini boleh diceburi oleh semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa mahupun agama.
“Apa yang penting ialah kesungguhan serta minat kita untuk berkecimpung dalam arena perniagaan sama ada berskala kecil, sederhana dan besar mengikut kemampuan sumber kewangan. Ramai orang mempunyai semangat dan idea untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Bagaimanapun, bagi menterjemahkan semangat dan idea itu kepada realiti selalunya sukar dan kadang kala ianya hanya menjadi impian semata-mata. Inilah antara dilema masyarakat kita – takut, tidak yakin, tiada kreativiti dan kurang pendedahan dengan penggunaan teknologi terkini.
“Namun tidak dinafikan, kita mempunyai usahawan dan peniaga yang berkebolehan. Latihan, kemudahan kewangan, perkhidmatan sokongan disediakan oleh badan-badan kewangan dan agensi-agensi kerajaan sepanjang masa.
“Suasana di negara kita adalah sangat kondusif kepada komuniti peniaga untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan kerana banyak bantuan disediakan oleh kerajaan berbanding dengan negara jiran yang terpaksa menghadapi pelbagai masalah dan ketidakstabilan ekonomi. Namun demikian, usahawan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi ketidaktentuan dalam ekonomi yang sangat dinamik ini. Maka untuk menjadi seorang usahawan dan peniaga yang berjaya perlu ada kesungguhan, kemahiran dan pengetahuan,” katanya.
Mengenai Program BizTalk, Masidi yakin program ini akan membuahkan hasil dan mencapai objektif yang disasarkan.
“Mudah-mudahan program seperti ini dapat dianjurkan bersama pada masa akan datang bagi berkongsi pengalaman, kepakaran dan mengadakan kolaborasi dalam menjalankan perniagaan khususnya melibatkan dewan perniagaan pribumi,” katanya.
— TAMAT
Add Comment