KOTA KINABALU:Prestasi sistem bekalan elektrik Sabah terus menunjukkan peningkatan sejak negeri ini mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu, dengan jidar simpanan penjanaan bertambah dan tempoh gangguan bekalan semakin berkurangan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata jidar simpanan penjanaan meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini, dan dijangka mencecah 26 peratus menjelang akhir 2026.
Pada masa sama, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) turut bertambah baik — daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.
“Perkembangan ini merupakan hasil pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem grid yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, di sini, Isnin.
Hajiji berkata, pengambilalihan kuasa kawal selia membolehkan Sabah merancang dan melaksanakan penambahbaikan sektor tenaga dengan lebih pantas.
“Dahulu, kita terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan. Tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya.
Sabah mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu susulan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan ECoS 2024 oleh Dewan Undangan Negeri pada 3 Januari 2024.
Setahun sebelumnya, Sabah turut mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di negeri ini.
Hajiji berkata, peningkatan kapasiti penjanaan perlu bergerak seiring dengan pengukuhan infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi memastikan sistem bekalan elektrik lebih berdaya harap dan berdaya tahan.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035.
Mesyuarat MTS turut membincangkan semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) bagi tempoh 10 tahun, bagi memastikan perancangan kapasiti penjanaan mampu memenuhi permintaan tenaga pada masa hadapan.
Bagi Pantai Timur Sabah, Hajiji berkata pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau sedang dirancang bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang mempunyai kos operasi tinggi.
Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) menerusi proses bidaan kompetitif turut dirancang bagi memperkukuh sistem penjanaan serta meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Pantai Timur.
“Setiap keputusan MTS hendaklah dibuat secara seimbang dan berhemah dengan mengutamakan keterjaminan bekalan, kos sistem yang optimum, keperluan industri serta kepentingan pengguna untuk menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan terus memantau projek yang telah diluluskan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual dan memberi manfaat sebenar kepada kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik negeri.

























Add Comment