KOTA KINABALU: Pemimpin masyarakat peringkat akar umbi di seluruh negeri ini digesa supaya sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan terutama yang melibatkan pelajar susah yang cemerlang dalam pelajaran.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), ketua kampung, dan ketua adat memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Beliau yang juga Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah berkata, sebarang isu yang dihadapi pelajar berkenaan khususnya melibatkan bantuan yang sewajarnya boleh dikemukakan kepada pihak kementerian dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
Selain itu katanya, perkara berkaitan juga boleh diajukan kepada kementerian dan jabatan lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk melaksanakan usaha kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
“Kita sentiasa meminta maklumat terkini dan ini juga antara yang dibincangkan di samping meminta kerjasama daripada wakil rakyat serta pemimpin masyarakat agar memberikan kita input yang sepatutnya.
“Mana yang boleh kita bantu dari segi pendidikan InsyaAllah kita berikan bantuan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) 2023 Kategori Sekolah Menengah di Maktab Sabah di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya juga akan membuat siri jelajah ke seluruh Sabah seperti yang dijalankan dua tahun lepas melibatkan kunjungan ke setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan beberapa sekolah.
Menurutnya, usaha itu bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkaitan isu pendidikan selain menggalakkan masyarakat untuk berhubung dengan pihak berkenaan dari semasa ke semasa.
Beliau turut memberi jaminan untuk lebih mengeratkan hubungan dengan kementerian dan JPNS serta jabatan-jabatan yang terlibat dalam bidang pendidikan.
“Sebagai Exco Pendidikan, saya menyediakan 10 inisiatif termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pendidikan Tinggi (BUDI) tahun lalu kepada lebih 5,000 anak-anak Sabah yang berkelayakan sama ada peringkat diploma, matrikulasi atau asasi dan ijazah.
“Tahun ini, kita sedang menunggu untuk menyenaraikan ramai pemohon memandangkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baharu diumumkan.
“Ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengumpulkan maklumat berhubung permohonan yang layak dan perlu dibantu,” jelasnya.
Selain itu Mohd Arifin berkata, kementeriannya amat menyokong program-program pembudayaan ilmu berkaitan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) seperti program Karnival STEM Maktab Sabah bagi menarik minat pelajar dan menepis persepsi bahawa sains itu adalah mata pelajaran yang susah.
Menurutnya, melalui program ini, secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru-guru dan komuniti mengenai kepentingan Pendidikan STEM dan kerjaya STEM.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi KSTI Negeri Sabah memberikan peruntukan kepada semua daerah bagi menjayakan program STEM FIESTA berjumlah RM250,000.00.
“Saya berharap agar program-program seumpama ini dipergiatkan dan dimulakan di peringkat pra sekolah lagi sebagai salah satu usaha kita bagi meningkatkan jumlah penyertaan murid dalam bidang pendidikan aliran STEM selaras dengan Pelan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Pelan Strategik Sepakat Sabah Hebat,” katanya.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment