Home » Pendekatan agresif noktahkan miskin tegar di Sabah
Berita Gagasan Rakyat Politik

Pendekatan agresif noktahkan miskin tegar di Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin menyampaikan anugerah Tokoh Ma'al Hijrah kepada mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Syed Abas Syed Ali pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M di Dewan Masyarakat Papar pada Ahad.

PAPAR: Kerajaan Negeri terus melakukan pendekatan bersifat agresif bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Katanya, kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Ketua Isi Rumah (KIR) atau ahli isi rumah golongan miskin tegar ditawarkan pekerjaan yang seadanya, melibatkan beberapa agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat swasta.

“Langkah positif ini yang disifatkannya sebagai suatu proses penghijrahan, berjaya mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah daripada 22,510 KIR miskin tegar kepada hanya 5,379 KIR miskin tegar.

“Kerajaan negeri bertekad untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan. Pendekatan bersifat agresif ini akan terus kita lakukan bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah, insya Allah”, katanya.

 Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri 1446H/2024M di Dewan Masyarakat Papar di sini pada Ahad.

Majlis perasmian majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

Hajiji berkata, ketibaan tahun baharu Hijrah yang diiringi dengan sambutan Maal Hijrah diharap mampu menyemarakkan lagi semangat juang dan menggilap cita-cita dalam jiwa semua umat Islam.

 “Bukan sahaja mengejar impian dan harapan, tetapi dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan selaku anggota masyarakat, terutamanya sebagai anggota perkhidmatan awam yang berperanan sebagai penggerak dan pelaksana program-program pembangunan negeri dan negara tercinta”, katanya.

Beliau berkata, kisah-kisah dalam peristiwa Hijrah Rasulullah wajar dijadikan sebagai iktibar, sumber inspirasi, dihayati dan contohi bersama oleh umat Islam dalam menjalani kehidupan.

Katanya, sentiasa bermuhasabah diri wajar menjadi rutin kehidupan setiap muslim untuk menanamkan rasa keinsafan dalam diri masing-masing, mempertingkatkan amalan dan kewajipan terhadap Allah SWT, disamping memelihara hubungan baik sesama insan.

Menurutnya, amalan dan kewajipan ini perlu dilakukan secara berterusan agar umat Islam tidak terus hanyut dibuai mimpi.

“Natijahnya, kita bukan sahaja kurang berdaya saing untuk mencipta perubahan dan melakar kemajuan, malah kita akan terus diancam oleh situasi yang merugikan.

“Justeru dalam mendepani dunia yang serba mencabar dewasa ini, kita sebagai ummah, seharusnya lebih kuat dan berani mendepani apa jua situasi yang mendatang,” katanya.

Katanya, dengan kekuatan dan keberanian itu, kita tidak mudah dikotak-katikkan, dipengaruhi dan diadu domba.

“Para generasi muda yang bakal mewarisi pimpinan negeri dan negara, harus terus melakukan yang terbaik sebagai warga yang menjunjung tuntutan agama, bangsa dan negara.

“Semangat dan peristiwa hijrah yang sebenar tetap menjadi paduan dan pedoman kepada seluruh ummah, walaupun telah berlalu lebih seribu tahun”, katanya.

 Hajiji berkata, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ mengajak umat Islam untuk terus bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan dan kesejahteraan dalam kehidupan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita dituntut agar sentiasa bermuhasabah diri, berusaha gigih bagi mencapai kejayaan; sama ada untuk diri sendiri atau pun kejayaan untuk organisasi yang kita wakili, seterusnya kejayaan untuk tanahair yang tercinta.

“Namun, matlamat akhirnya ialah kejayaan dan kesejahteraan untuk dunia dan akhirat, inshaAllah,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat agar memberikan komitmen setulusnya bagi menjayakan pembangunan negeri ini. Ketepikanlah perbezaan, sebaliknya raikan persamaan yang telah kita kongsi bersama selama ini.

“Pupuklah semangat kekitaan, eratkan persaudaraan, bersama kita berusaha, ramai-ramai kita bekerja, demi menjayakan misi dan visi Malaysia Madani serta Hala Tuju SMJ ke arah Negeri Sabah yang makmur dan sejahtera”, katanya.

— TAMAT