Home » Pindaan RUU Ordinan Buruh Sabah perlu sokongan semua Ahli Parlimen
Berita Gagasan Rakyat Politik

Pindaan RUU Ordinan Buruh Sabah perlu sokongan semua Ahli Parlimen

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima ikrar membanteras buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang ditandatangani oleh para majikan pada Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Ordinan Buruh Sabah yang dijadualkan pada sesi Persidangan Parlimen Penggal Keempat Oktober ini mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, RUU Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Sumber Manusia semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai 2024.

“Saya amat berharap bacaan kali kedua pindaan RUU ini yang dijadualkan pada sesi persidangan Parlimen Penggal Keempat pada Oktober 2024 akan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.

“Saya amat yakin dengan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) ini akan memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di Sabah dengan panduan yang lebih terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri yang lebih harmoni dan kondusif,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya kepada pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan itu adalah berkaitan dengan isu hak kemanusiaan dan hak buruh serta penghapusan diskriminasi yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana pihak yang mengamalkan amalan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Menurutnya, ini selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini.

Beliau berkata, jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani dengan bijaksana mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar ia dapat dibendung dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.

Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negeri ini, yang memerlukan kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kedudukan negeri ini yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah, sekali gus menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan, pemerdagangan orang dan buruh paksa.

“Kerajaan negeri mengiktiraf dan memperakui peranan penting Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi yang dilantik dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa di Malaysia.

“Sehubungan itu, kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi-agensi Persekutuan khususnya yang terlibat secara langsung di bawah payung MAPO perlu diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan aspek penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa dapat dilaksana dengan sebaik mungkin agar negara Malaysia tidak dituduh mengabaikan atau mengambil mudah isu berkenaan.

Menurutnya, pekerja adalah aset utama dan rakan strategik kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara kerana pekerja yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mempunyai jati diri adalah asas yang paling utama kepada negara untuk kekal kompetitif dan meningkatkan produktiviti agar ekonomi negara sentiasa mampan serta berdaya saing di peringkat glokal.

Justeru Hajiji mahu semua majikan sentiasa memastikan amalan baik industri dilaksana, meningkatkan piawaian perburuhan seperti yang termaktub dalam dasar dan perundangan negara.

Katanya, langkah itu, bagi memastikan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk melihat negara ini bebas daripada amalan pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa menjadi realiti dan dapat direalisasikan.

“Ini penting dalam membantu usaha kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang bukan saja memerlukan pekerja yang berdaya saing tetapi harus mematuhi perundangan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kira-kira 178,000 majikan di negeri ini akan sama-sama mengambil bahagian menandatangani ikrar dan aku janji dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa.

Katanya, majikan sebagai orang penting harus melihat isu ini dengan serius, menyokong dan menanam iltizam untuk menangani jenayah yang mampu menggugat keselamatan rakyat di negeri ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

— TAMAT