Home » Sabah hanya ada 28 Pegawai Kerja Sosial Perubatan- Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Politik

Sabah hanya ada 28 Pegawai Kerja Sosial Perubatan- Hajiji

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Malaysia ke-27 di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Sabah hanya mempunyai seramai 28 Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) yang berkhidmat di 24 hospital di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, jumlah pegawai berkenaan merangkumi hospital negeri, hospital pakar major dan minor, hospital tanpa pakar serta hospital institusi.

Katanya, jumlah itu tidak mencukupi untuk menangani permasalahan pesakit yang memerlukan intervensi lanjut ke arah mencapai fungsi sosial yang optimum.

Menurutnya, Sabah adalah sebuah negeri yang besar dan faktor geografi, kemudahan pengangkutan serta keadaan sosio ekonomi keluarga terutama yang tinggal di pedalaman antara kekangan kepada kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan.

“Sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi kerana hanya 28 PKSP yang ada bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk untuk bantuan psikososial dan kewangan bagi pembelian peralatan untuk memenuhi keperluan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Malaysia ke-27 di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Kewangan  Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, kos perubatan semakin meningkat pada masa ini secara langsung memberikan kesan besar kepada kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan.

Menurutnya, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan mengalami peningkatan berikutan terkesan dari segi ekonomi.

Katanya, ia turut menambah cabaran kepada warga kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan menyeluruh.

Sehubungan itu jelasnya, perkhidmatan kerja sosial perubatan menjadi amat signifikan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks dan dinamik.

“Ia sejajar dengan aspirasi reformasi kesihatan negara iaitu sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat.

“Justeru, PKSP memainkan peranan membina jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan sumber bantuan bagi membantu pesakit miskin dan tidak berkemampuan semasa menerima rawatan atau pemulihan.

“Mereka juga dapat membantu pesakit untuk mencapai kesihatan yang lebih baik melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pesakit di negeri ini mempunyai cabaran tambahan apabila mendapatkan rawatan di hospital, institusi dan klinik kesihatan berikutan isu demografi negeri dan jarak rumah mereka di pedalaman.

Menurutnya, PKSP perlu menggunakan teknologi terkini selaras dengan perkembangan semasa dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

“Iktibar perlu diambil seperti semasa berlakunya wabak COVID-19. Walaupun tidak dapat berinteraksi secara bersemuka dengan pesakit, namun perkhidmatan diteruskan melalui kaedah teknologi terkini seperti konsultasi secara maya.

“Usaha ini agar kesihatan dan kebajikan pesakit terus terpelihara, terutama pesakit yang tidak dapat hadir untuk sesi konsultasi susulan di fasiliti rawatan,” katanya.

Hajiji berharap PKSP sentiasa komited meneroka sumber-sumber baharu bagi memenuhi keperluan pesakit secara holistik dari segenap segi dalam proses mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada semua peringkat rakyat.

Dalam pada itu, beliau berharap Persidangan PKSP Malaysia ke-27 yang bertemakan ‘Keharmonian Hidup: Transformasi Masa Depan Bersama’ akan membuahkan hasil yang memberi manfaat bukan saja kepada PKSP, malah kepada rakyat Sabah keseluruhannya.

“Kepada semua PKSP, teruskan momentum dan usaha profesional dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit terutamanya pesakit yang kurang berkemampuan,” jelasnya.

— TAMAT