Home » Sabah kini stabil di bawah GRS kata pemerhati politik
Politik

Sabah kini stabil di bawah GRS kata pemerhati politik

Goh berkata tindakan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 membabitkan Anti Lompat Parti yang telah digazetkan pada 16 Jun lalu merupakan satu langkah yang bijak dan tepat pada masanya.

KOTA KINABLU : Sabah kini stabil di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menurut Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri TC Goh.

Diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Kerajaan Sabah telah melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya pada tahun 2022 dengan berjaya meraih hasil sebanyak RM6.6 bilion iaitu kutipan yang tertinggi di negeri itu selepas bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963.

“Hajiji adalah pemimpin veteran yang berkebolehan.

“Pendekatan beliau yang mesra rakyat tanpa mengira agama dan suku kaum menyebabkan beliau popular dan disenangi oleh rakyat,” Goh berkata.

Rang Undang-undang – Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 – yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selepas undi bahagian fasal demi fasal dipanggil telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata tindakan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 membabitkan Anti Lompat Parti yang telah digazetkan pada 16 Jun lalu merupakan satu langkah yang bijak dan tepat pada masanya.

“Penggubalan RUU itu akan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negeri terus berdepan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

“Memandangkan tiada pilihan raya negeri sehingga 2025 maka kerajaan negeri mempunyai dua tahun untuk bekerja tanpa gangguan.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan akan melengkapkan penggal pemerintahan tanpa perlu mengadakan pilihan raya awal.

“Saya berpendapat rakyat juga sudah bosan dengan pergolakan politik yang berlaku sejak beberapa tahun ini,” Goh berkata.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun

Sementara itu, Penasihat Kanan Pacific Research Centre of Malaysia, Dr Oh Ei Sun berkata “Hajiji yang dipandang rendah sebelum ini,” telah megejutkan pembangkang dengan keupayaan beliau meraih sokongan dan menyatupadukan pemimpin dalam satu pakatan besar ketika berhadapan dalam krisis politik yang sangat kritikal. 

Hakikat ini menyebabkan beliau (Hajiji) digeruni oleh musuh-musuh politik kata Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu.

Dalam pada itu, Oh bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Warisan akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam pilihan raya akan datang untuk menumbangkan GRS.

“Tetapi saya yakin rakyat Sabah cukup bijak untuk membuat keputusan sendiri apabila tiba masanya,” tambahnya.

TAMAT