Home » Tiada sekatan berceramah di Sabah namun perlu ada tauliah – Dr Arifin
Uncategorized

Tiada sekatan berceramah di Sabah namun perlu ada tauliah – Dr Arifin

Arifin berkata apabila hendak mengadakan kunjungan ke Sabah untuk membuat program khususnya ceramah dan lain-lain mesti mendapat tauliah daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah.

MEMBAKUT: Kerajaan Negeri Sabah tidak menyekat mana-mana pihak terutama penceramah untuk memberi ceramah agama di negeri ini namun perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.


Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif memberitahu, mana-mana penceramah yang bercadang untuk mengadakan ceramah di Sabah termasuk program lain berkaitan, perlu mendapatkan tauliah daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Tegas beliau, ini kerana perkara tersebut sudah termasuk dalam Enakmen Majlis Agama Islam masing-masing.


“Di Sabah prosedurnya juga sedemikian, tatacaranya juga perlu. Apabila kita hendak mengadakan kunjungan ke Sabah untuk membuat program khususnya ceramah dan lain-lain mesti mendapat tauliah daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah.


“Ini biasanya dilakukan di seluruh negeri di Malaysia kerana ini termasuk dalam Enakmen yang ada dalam Enakmen Majlis Agama Islam masing-masing, ” katanya ketika ditemui Utusan Borneo selepas program Bingkisan Ramadan di kediamannya di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memberitahu setakat ini kerajaan tidak mempunyai masalah untuk memberikan tauliah kepada mana-mana penceramah sekiranya layak.

Arifin merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian JPKK yang hadir pada program Bingkisan Ramadan yang diadakan.

“Demikian juga untuk mengajar agama misalnya guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan guru-guru agama yang lain, perlu mempunyai tauliah.


“Saya sendiri ada mendapat tauliah mengajar, berceramah dan berkhutbah. Ini contoh kepada semua bahawa tiada pihak yang terkecuali daripada peraturan untuk mendapat tauliah, demi kebaikan bersama sekaligus mengelak dari perkara di luar landas agama.


Mengenai program Bingkisan Ramadan, Arifin menyerahkan pek Ramadan kepada 3,700 Ketua Isi Rumah (KIR) Islam di seluruh Membakut yang diserahkan secara simbolik kepada 36 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK).

Kenneddy Corlleus