KOTA KINABALU:Transformasi digital sektor awam menerusi teknologi kerajaan (GovTech) perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih mudah, pantas dan mesra pengguna, dengan pengalaman rakyat dijadikan keutamaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pendekatan GovTech bukan sekadar penggunaan teknologi canggih, sebaliknya perlu mengubah cara kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, falsafah GovTech yang berteraskan people-centric design menuntut kerajaan bergerak daripada pendekatan reaktif kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih proaktif.
“Kerajaan tidak lagi menunggu rakyat datang mencari perkhidmatan atau berdepan dengan kerenah birokrasi yang membebankan.
“Sebaliknya, teknologi dimanfaatkan agar perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada rakyat secara terus, lancar dan mesra pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Selasa. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, transformasi digital turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Sabah, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kecanggihan teknologi sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disertai perubahan sikap dan minda dalam kalangan penjawat awam.
“GovTech tidak akan membawa makna tanpa perubahan sikap dan minda daripada para penjawat awam,” katanya.
Menurutnya, kecekapan, integriti dan empati penjawat awam merupakan “enjin utama” yang memberi jiwa kepada penggunaan teknologi dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Hajiji berkata, pemodenan sektor awam menerusi GovTech juga perlu mengatasi budaya kerja secara silo antara agensi kerajaan.
Beliau berkata, integrasi data dan sistem antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan menjadi prasyarat bagi mewujudkan penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, mudah dan telus.
Pendekatan itu juga penting bagi membantu merapatkan jurang sosioekonomi dan memastikan manfaat pembangunan digital tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut sampai kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman.
Dalam memperluas penggunaan teknologi, Hajiji turut menegaskan aspek keselamatan siber tidak boleh dikompromi.
Beliau berkata, peningkatan kebergantungan terhadap ekosistem digital perlu disertai perlindungan keselamatan siber yang kukuh, khususnya dalam memastikan data peribadi rakyat yang diamanahkan kepada agensi kerajaan terus terpelihara.
Sementara itu, Hajiji berkata penganjuran Digital Tamu 2026 mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memperkukuh ekosistem ekonomi digital tempatan, khususnya melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Program berkenaan menghimpunkan sehingga 30 pempamer, termasuk syarikat teknologi tempatan yang menawarkan penyelesaian digital dan teknologi terkini.
Agensi sokongan termasuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) turut terlibat sebagai pemudah cara dalam membantu mempercepat proses pendigitalan PMKS di Sabah.
“Saya amat berharap usahawan tempatan dapat memanfaatkan platform ini sepenuhnya demi kelestarian perniagaan mereka pada era digital ini,” katanya.

























Add Comment