Home » Tiga cadangan, tindakan selesai krisis eletrik di Sabah – Bobbey
Uncategorized

Tiga cadangan, tindakan selesai krisis eletrik di Sabah – Bobbey

Bobbey berkata sebelum ini kerajaan memaklumkan beberapa peruntukan seperti geran berjumlah RM2.3 bilion bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk pelaksanaan projek pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik di Sabah yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (Sabah Special Project Delivery Unit (SAPADU))dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan mencadangkan kepada kerajaan agar mengambil tiga tindakan segera bagi menyelesaikan isu dan krisis bekalan tenaga yang serius di Sabah.

Katanya cadangan pertama yang dikemukakan ialah kelulusan daripada Kabinet Persekutuan untuk memohon dan mewartakan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan untuk menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) yang perlu disegerakan untuk menjayakan perkhidmatan pengurusan tenaga yang lebih cekap dan berkesan.


“Tindakan segera kedua yang perlu diambil oleh kerajaan ialah Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (2023-2027) bagi menyediakan penyelesaian segera terhadap kekurangan kapasiti penjanaan kuasa yang kritikal semasa di Sabah. 


“Saya menggesa kerajaan persekutuan memainkan peranan untuk memudahkan dan meneruskan proses bagi memastikan projek yang dirancang mengikut Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah dapat disiapkan tepat pada masanya,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 di persidangan Dewan Negara.


Beliau berkata sebelum ini kerajaan memaklumkan beberapa peruntukan seperti  geran berjumlah RM2.3 bilion bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk pelaksanaan projek pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik di Sabah yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (Sabah Special Project Delivery Unit (SAPADU))dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).


“Kerajaan persekutuan perlu memastikan peruntukkan pembiayaan melalui geran ini berjalan lancar kerana ini adalah projek kemudahan awam yang mesti disiapkan menjelang 2028 agar kuasa daripada dua stesen hidroelektrik baharu dapat disalurkan kepada pengguna melalui Grid Sabah.


“Bekalan tenaga elektrik yang stabil adalah hak asasi manusia pada ketika ini, bukan sahaja pengguna domestik, tetapi pengguna industri juga memerlukan bagi memastikan produktiviti industri di Wilayah Sabah sentiasa terjaga dan berkualiti. 


“Fokusnya, tiga indikator iaitu keterjaminan  tenaga (energy security), mampu milik (affordability) dan kelestarian alam sekitar (environmental sustainability) haruslah menjadi asas bagi mencapai matlamat ini,” katanya.


Bobbey berkata isu bekalan tenaga elektrik di Sabah sudah mencapai tahap kritikal dan pada bulan Mei 2023 sahaja, semua bandar utama di Wilayah Sabah seperti Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Sandakan, Tawau, Tambunan, Kota Belud dan Lahad Datu mengalami gangguan elektrik yang sangat serius. 


Katanya keadaan disebabkan oleh bekalan elektrik yang tidak mencukupi disamping permintaan yang tinggi disebabkan cuaca panas beterusan sehingga pihak SESB terpaksa membuat kerja penyesuaian grid bagi memastikan kestabilan penyaluran tenaga untuk pengguna domestik dan industri. 


“Kaedah catuan bekalan iaitu load-sheeding terpaksa digunakan hingga berlaku ketiadaan elektrik atau blackout hampir seluruh Sabah. 
“Margin rizab juga adalah rendah dan dengan permintaan yang tinggi sehingga mencapai keadaan “deficit”. 


“Standard antarabangsa untuk margin rizab yang sesuai untuk satu sistem bekalan elektrik yang stabil perlu berada pada tahap 20 peratus sehingga 30 peratus kapasiti penjanaan,” katanya.


Bobbey berkata walaupun Sabah kini sedang mengalami krisis bekalan tenaga yang serius, namun Kerajaan Sabah sendiri tetap komited untuk memastikan hak asasi rakyat negeri Sabah bagi mendapatkan bekalan tenaga yang stabil terus terpelihara, disamping sokongan daripada kerajaan persekutuan bagi memudahkan urusan untuk Kerajaan Sabah menguruskan tenaga dengan lebih cekap dan mandiri. 


“Dengan  Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 ini, kuasa kawal selia elektrik di Sabah akan berada dibawah tanggungjawab Kerajaan Sabah bermula awal Januari 2024. 


“Untuk mencapai tarikh sasaran yang ditetapkan itu, penyelarasan dan kerjasama semua pihak adalah penting supaya semua isu, terutama proses perundangan dapat diselesaikan,” katanya.

TAMAT